Al-Hikam#46

46: ALLAH MAHA ESA, SEDIA DAN KEKALTELAH ADA ALLAH  DAN TIADA SESUATU BESERTA-NYA. DAN, DIA KINI ADALAH TETAP SEBAGAIMANA ADANYA.


Pada martabat zat, segala sifat, nama dan semua kewujudan lenyap di dalamnya, tidak boleh disaksi dan ditakbir lagi. Selagi boleh disaksi dan ditakbir ia masih lagi sifat bukan zat. Apabila sampai kepada perbatasan: “Lemah mengadakan pendapat tentang zat Ilahiat”, seseorang tidak ada pilihan melainkan mengakui wujudnya zat Wajibul Wujud (Wajib Wujud) kerana jika tidak wujud zat nescaya tidak ada sifat dan tidak ada kejadian atau perbuatan. Seorang bukan ahli kasyaf bermakrifat dengan akalnya dan beriman kepada zat Wajibul Wujud setelah terjadi kebuntuan  akalnya mengenai hal ketuhanan pada suasana yang diistilahkan sebagai Wahadiyyah atau suasana pentadbiran Ilahi yang juga dipanggil Rububiah. Akal menyaksikan Rububiah atau hal ketuhanan yang menggerakkan sekalian makhluk. Peringkat kesudahan pencapaian akal dan ilmu makhluk dinamakan Hijab al-‘Izzati atau benteng keteguhan. Ilmu sekalian orang alim dan arif terhenti di sini. Zat Allah s.w.t tidak diketahui oleh makhluk kerana Dia tidak termasuk di dalam sempadan maklumat, pendapat dan kenyataan. Allah berfirman :Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diri-Nya (menyeksa kamu). ( Ayat 30 : Surah a-li ‘Imran )Rasulullah s.a.w bersabda:Semua kamu (yang berfikir) tentang Zat Allah adalah orang dungu.Percubaan akal untuk menembusi Hijab Keteguhan adalah sia-sia. Jika dipaksa juga tidak ada yang ditemui melainkan kemungkinan menjadi gila. Begitulah makrifat Allah s.w.t melalui akal. Makrifat dengan akal menjadi asas kepada makrifat melalui zauk atau pandangaan mata hati. Ahli Allah s.w.t meningkatkan imannya dengan membenamkan dirinya ke dalam ibadat dengan bersungguh-sungguh. Mereka berpuasa pada siang hari dan bersembahyang pada malam hari. Ada antara mereka yang bersembahyang lebih 500 rakaat sehari, khatam membaca al-Quran tiap-tiap hari dan berpuasa sepanjang tahun. Sekiranya Allah s.w.t izinkan, mereka akan mengalami hakikat wujud Zat Allah s.w.t yang sukar untuk dihuraikan.Pengalaman makrifat menurut akal berhenti pada kenyataan: “Semata-mata zat, yang maujud hanya Wajibul Wujud”. Pengalaman makrifat secara zauk pula berakhir pada: “Zat yang kosong dari makhluk, yang maujud hanya Allah s.w.t. Telah ada Allah s.w.t dan tiada sesuatu beserta-Nya. Dia kini adalah tetap sebagaimana dahulunya ”.Ungkapan ini bukan untuk dibahaskan atau dihuraikan dengan terperinci kerana ia telah melepasi sempadan ilmu. Ia adalah pengalaman rohani, dinamakan penyaksian hakiki mata hati, tatkala  hilang rasa wujud diri dan sekalian yang maujud, hanya Wujud Allah s.w.t yang nyata, semata-mata Allah s.w.t dan segala-galanya Allah s.w.t. Keadaan ini dicapai setelah melepasi makam-makam ilmu, amal, berserah diri, reda, ikhlas, lalu masuk ke dalam makam tauhid yang hakiki dan pengalaman tauhid yang hakiki itulah yang dinyatakan oleh Hikmat 46 di atas.Telah ada Allah s.w.t dan tiada sesuatu beserta-Nya.
Allah s.w.t kini adalah Allah s.w.t yang dahulu juga.Pengalaman rohani adalah aneh menurut kacamata akal. Ia adalah satu keadaan terlepasnya ikatan  kesedaran terhadap diri sendiri dan dikuasai oleh kesedaran yang lain. Jika mahu memahami akan kesedaran-kesedaran yang mempengaruhi kesedaran manusiawi itu terlebih dahulu perlulah difahami tentang kejadian manusia itu. Manusia yang bertubuh badan boleh diistilahkan sebagai alam jasad. Alam jasad mendiami alam dunia. Hubungan yang rapat antara alam jasad dengan alam dunia menyebabkan pengaruh alam dunia kepada alam jasad sangat kuat. Alam jasad menerima pengaruh alam dunia dan menganggapnya sebagai kesedaran dirinya sendiri. Ia tidak dapat lagi membezakan antara kesedaran jasad yang asli dengan kesedaran duniawi yang menguasainya.Alam dunia pula berada di dalam Alam Malakut (alam malaikat). Alam Malakut menguasai alam dunia dan alam jasad. Tenaga malaikat-malaikat menjadi tenaga kepada dunia dan jasad yang menyebabkan dunia dan jasad boleh bergerak. Sistem yang berjalan rapi di dunia dan jasad adalah disebabkan oleh tenaga malaikat yang bekerja dengan tepat mengawalnya. Sedutan udara, kerlipan mata, peredaran darah, pertumbuhan rambut dan kuku, pergerakan otot dan semuanya adalah hasil daripada tindakan malaikat walaupun manusia tidak menyedarinya. Perjalanan matahari, penurunan hujan, tiupan angin dan semua aktiviti benda-benda dunia terhasil daripada tindakan malaikat-malaikat. Perkaitan antara jasad, dunia dan malakut adalah umpama sebatang pokok kelapa di atas sebuah pulau di dalam laut. Pokok kelapa tidak terpisah dari pulau dan tidak terpisah dari laut. Air laut meresap ke dalam tanah pulau dan air yang sama juga meresap ke dalam akar, batang, daun dan seluruh pokok kelapa. Pokok kelapa memperolehi tenaga pertumbuhan dari air laut yang meresap ke dalamnya. Begitulah ibaratnya tenaga malaikat yang menjadi sistem aktiviti manusia.Alam Malakut dengan segala isinya termasuklah dunia dan jasad berada di dalam Alam Jabarut. Jabarut bukanlah alam seperti yang difahamkan. Jabarut bermakna sifat Allah s.w.t. Ini bermakna malakut, dunia dan jasad adalah kesan daripada keupayaan sifat atau dikatakan juga perbuatan yang dihasilkan oleh sifat. Jabarut pula dikuasai oleh Lahut iaitu Zat Ilahiat. Malakut, dunia dan jasad diistilahkan sebagai sekalian alam, merupakan perbuatan yang dikuasai oleh sifat dan sifat pula dikuasai oleh zat. Ini bermakna tidak putus perkaitan di antara Lahut kepada Jabarut kepada malakut kepada dunia dan kepada jasad.Jika dilihat kepada lapisan yang paling luar akan kelihatanlah pergerakan benda-benda. Jika direnungkan kepada lapisan yang lebih mendalam sedikit kelihatanlah pula pergerakan benda-benda dihasilkan oleh tenaga malaikat. Jika dilihat kepada lapisan yang lebih mendalam akan kelihatan pula pergerakan benda-benda dan tenaga malaikat merupakan perbuatan Tuhan. Jika dilihat kepada lapisan yang lebih dalam akan kelihatan pula sekalian perbuatan Tuhan itu adalah kesan daripada keupayaan sifat Allah s.w.t. Jika dilihat kepada lapisan yang paling dalam akan kelihatanlah bahawa sekalian alam yang muncul kerana perbuatan Tuhan, perbuatan pula lahir daripada keupayaan sifat Tuhan dan sifat pula bersumberkan zat Ilahiat. Jika dilihat semuanya tanpa terdinding antara satu dengan yang lain maka kelihatanlah bahawa zat Ilahiat menguasai segala sesuatu. Apabila semuanya sudah sempurna kedudukannya maka Allah s.w.t mengwujudkan sesuatu yang sangat istimewa. Ia adalah roh manusia. Roh manusia adalah sesuatu yang dari Allah s.w.t, tiupan Roh Allah s.w.t, berkait dengan Zat Allah s.w.t, tidak boleh dinisbahkan kepada apa sahaja melainkan kepada Allah s.w.t, tetapi ia bukanlah Allah s.w.t kerana “Tiada sesuatu yang menyamai-Nya”. Roh manusia yang dinisbahkan kepada Allah s.w.t inilah yang paling mulia:Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya (Adam), serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan)-Ku maka hendaklah kamu sujud kepadanya. ( Ayat 72 : Surah Saad )Kemuliaan roh manusia yang Allah tiupkan dari Roh-Nya menyebabkan malaikat-malaikat kena sujud kepada Adam. Roh pada martabat ini adalah urusan Allah s.w.t:Katakanlah: “Roh itu dari perkara urusan Tuhanku”. ( Ayat 85 : al-Israa’ )Bagaimana atau apakah perkaitan roh dengan Allah s.w.t? Perkaitannya adalah Rahsia Allah s.w.t yang manusia tidak diberi pengetahuan mengenainya kecuali sedikit sahaja. Roh pada martabat Rahsia Allah s.w.t inilah yang sudah mengenal Allah s.w.t dan menyaksikan bahawa:
Sesungguhnya Allah Maha Esa. Tiada sesuatu beserta-Nya.Roh yang berkait dengan Allah s.w.t menghadap kepada Allah s.w.t dan dikuasai oleh kesedaran yang hakiki atau penglihatan rohani yang hakiki atau kesedaran tauhid yang hakiki.Roh urusan Allah s.w.t itu kemudiannya berkait pula dengan perbuatan Allah s.w.t iaitu alam. Unsur alam yang menerima perkaitan dengan roh urusan Allah s.w.t itu dinamakan roh juga. Roh jenis kedua ini menghuni alam seperti makhluk Tuhan yang lain juga. Tempat roh tersebut ialah Alam Arwah {alam roh}. Roh yang mendiami Alam Arwah ini kemudiannya berkait pula dengan jasad. Jasad yang berkait dengan roh menjadi hidup dan dipanggil manusia. Perjalanan dari atas ke bawah ini dinamakan:Kami datang dari Allah s.w.t.Oleh sebab manusia datang dari Allah s.w.t mereka berkewajipan pula kembali kepada Allah s.w.t.Perjalanan kembali kepada Allah s.w.t hendaklah dilakukan ketika jasad masih lagi diterangi oleh roh iaitu ketika kita masih hidup di dalam dunia. Apabila roh sudah putus hubungannya dengan jasad, tidak ada lagi peluang untuk kembali kepada Allah s.w.t. Sesiapa yang buta (hati) di dunia akan buta juga di akhirat, malah lebih buruk lagi. Hamba Allah s.w.t yang menyedari kewajipannya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk kembali kepada Allah s.w.t ketika kesempatan masih ada. Syariat diturunkan supaya manusia tahu jalan kembalinya. Orang yang berjuang untuk kembali kepada asalnya melepaskan kesedaran alam bawah yang menguasainya. Dia masuk kepada kesedaran malaikat. Kemudian dia keluar dari kesedaran malaikat dan masuk kepada kesedaran roh yang murni dan seterusnya masuk kepada kesedaran roh yang menjadi Rahsia Allah s.w.t dan kembali menyaksikan Yang Hakiki sebagaimana telah disaksikannya sebelum berkait dengan jasad dahulu. Keluarlah ucapannya:Telah ada Allah s.w.t (sebagaimana ia menyaksikan sebelum berkait dengan jasad) dan tiada sesuatu yang menyertai-Nya (sebagaimana disaksikannya dahulu). Dan Dia kini (sedang disaksikannya semula) sama seperti ada-Nya (seperti yang disaksikannya dahulu).Keadaannya adalah seperti orang yang melihat kepada sesuatu, kemudian dia memejamkan matanya seketika. Bila dia membuka matanya  semula dia melihat sesuatu yang sama berada dihadapannya. Tahulah dia bahawa pengalaman semasa memejam mata itu sebenarnya gelap, majazi atau khayalan. Dia kembali melihat yang benar setelah matanya terbuka. Jadi, seseorang hanya boleh melihat Yang Hakiki setelah kembali kepada keasliannya iaitu dia kembali melihat dengan penyaksian hakiki mata hati.Hikmat 46 di atas walaupun pendek tetapi  menggambarkan perjalanan datang dan pergi yang sangat jauh, bermula dari Allah s.w.t, sampai kepada dunia dan jasad, kemudian kembali semula kepada Allah s.w.t.Perjalanan yang telah diceritakan di atas adalah pengalaman rohani bukan perpindahan jasad dari satu tempat kepada tempat yang lain. Orang yang sedang mengalami hal yang demikian masih berada di bumi, masih bersifat sebagai manusia, bukan ghaib daripada pandangan orang lain. Hanya perhatian dan kesedarannya terhadap yang selain Allah s.w.t ghaib dari alam perasaan hatinya. Pengalaman rohani tersebut memberinya kefahaman dan pengenalan tentang Tuhan. Makrifatullah melalui pengalaman rohani jauh lebih kuat kesannya kepada hati daripada makrifatullah melalui pandangan akal. Akal yang mengenali Allah s.w.t bersifat Maha Melihat dan Mendengar melahirkan kewaspadaan pada tindakan dan tingkah-laku. Makrifat tentang Allah Maha Melihat dan Mendengar yang dialami secara kerohanian menyebabkan gementar dan kecut hati sehingga ketara pada tubuh badan seperti pucat mukanya dan menggigil tubuhnya.Pengalaman kerohanian tentang Allah Maha Esa menanamkan pengertian pada hati mengenai keesaan Allah s.w.t. Pengertian yang lahir secara demikian menjadi keyakinan yang teguh, tidak boleh dibahas atau ditakwilkan lagi.

Al-Hikam#45

  45: MAKRIFAT HATI TERHADAP ALLAH S.W.TTERBUKA MATA HATI MEMPERLIHATKAN KEPADA KAMU AKAN HAMPIRNYA ALLAH S.W.T. PENYAKSIAN MATA HATI MEMPERLIHATKAN KEPADA KAMU AKAN KETIADAAN KAMU DI SAMPING WUJUD ALLAH S.W.T. PENYAKSIAN HAKIKI MATA HATI MEMPERLIHATKAN KEPADA KAMU HANYA ALLAH YANG WUJUD, TIDAK TERLIHAT LAGI KETIADAAN KAMU DAN WUJUD KAMU.


Apabila hati sudah menjadi bersih maka hati akan menyinarkan cahayanya. Cahaya hati ini dinamakan Nur Kalbu. Ia akan menerangi akal lalu akal dapat memikirkan dan merenungi tentang hal-hal ketuhanan yang menguasai alam dan juga dirinya sendiri. Renungan akal terhadap dirinya sendiri membuatnya menyedari akan perjalanan hal-hal ketuhanan yang menguasai dirinya. Kesedaran ini membuatnya merasakan dengan mendalam betapa hampirnya Allah s.w.t dengannya. Lahirlah di dalam hati nuraninya perasaan bahawa Allah s.w.t sentiasa mengawasinya. Allah s.w.t melihat segala gerak-gerinya, mendengar pertuturannya dan mengetahui bisikan hatinya. Jadilah dia seorang Mukmin yang cermat dan berwaspada.Di antara sifat yang dimiliki oleh orang yang sampai kepada martabat Mukmin ialah:
1:  Cermat dalam pelaksanaan hukum Allah s.w.t.
2:  Hati tidak cenderung kepada harta, berasa cukup dengan apa yang ada dan tidak sayang membantu orang lain dengan harta yang dimilikinya.
3:  Bertaubat dengan sebenarnya (taubat nasuha) dan tidak kembali lagi kepada kejahatan.
4:  Rohaninya cukup kuat untuk menanggung kesusahan dengan sabar dan bertawakal kepada Allah s.w.t.
5:  Kehalusan kerohaniannya membuatnya berasa malu kepada Allah s.w.t dan merendah diri kepada-Nya.Orang Mukmin yang taat kepada Allah s.w.t, kuat melakukan ibadat, akan meningkatlah kekuatan rohaninya. Dia akan kuat melakukan tajrid iaitu menyerahkan urusan kehidupannya kepada Allah s.w.t. Dia tidak lagi khuatir terhadap sesuatu yang menimpanya, walaupun bala yang besar. Dia tidak lagi meletakkan pergantungan kepada sesama makhluk. Hatinya telah teguh dengan perasaan reda terhadap apa jua yang ditentukan Allah s.w.t untuknya. Bala tidak lagi menggugat imannya dan nikmat tidak lagi menggelincirkannya. Baginya bala dan nikmat adalah sama iaitu takdir yang Allah s.w.t tentukan untuknya. Apa yang Allah s.w.t takdirkan itulah yang paling baik. Orang yang seperti ini sentiasa di dalam penjagaan Allah s.w.t kerana dia telah menyerahkan dirinya kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t kurniakan kepadanya keupayaan untuk melihat dengan mata hati dan bertindak melalui Petunjuk Laduni, tidak lagi melalui fikiran, kehendak diri sendiri atau angan-angan. Pandangan mata hati kepada hal ketuhanan memberi kesan kepada hatinya (kalbu). Dia mengalami suasana yang menyebabkan dia menafikan kewujudan dirinya dan diisbatkannya kepada Wujud Allah s.w.t. Suasana ini timbul akibat hakikat ketuhanan yang dialami oleh hati.. Dia berasa benar-benar akan keesaan Allah s.w.t bukan sekadar mempercayainya. Pengalaman tentang hakikat dikatakan memandang dengan mata hati. Mata hati melihat atau menyaksikan keesaan Allah s.w.t dan hati merasakan akan keadaan keesaan itu. Mata hati hanya melihat kepada Wujud Allah s.w.t, tidak lagi melihat kepada wujud dirinya. Orang yang di dalam suasana seperti ini telah berpisah dari sifat-sifat kemanusiaan. Dalam berkeadaan demikian dia  tidak lagi mengendahkan peraturan masyarakat. Dia hanya mementingkan soal perhubungannya dengan Allah s.w.t. Soal duniawi seperti makan, minum, pakaian dan pergaulan tidak lagi mendapat perhatiannya. Kelakuannya boleh menyebabkan orang ramai menyangka dia sudah gila. Orang yang mencapai peringkat ini dikatakan mencapai makam tauhid sifat. Hatinya jelas merasakan bahawa tidak ada yang berkuasa melainkan Allah s.w.t dan segala sesuatu datangnya dari Allah s.w.t.Rohani manusia melalui beberapa peningkatan dalam proses mengenal Tuhan. Pada tahap pertama terbuka mata hati dan Nur Kalbu memancar menerangi akalnya. Seorang Mukmin yang  akalnya diterangi Nur Kalbu akan melihat betapa hampirnya Allah s.w.t. Dia melihat dengan ilmunya dan mendapat keyakinan yang dinamakan ilmul yaqin. Ilmu berhenti di situ. Pada tahap keduanya mata hati yang terbuka sudah boleh melihat. Dia tidak lagi melihat dengan mata ilmu tetapi melihat dengan mata hati. Keupayaan mata hati memandang itu dinamakan kasyaf. Kasyaf melahirkan pengenalan atau makrifat. Seseorang yang berada di dalam makam makrifat dan mendapat keyakinan melalui kasyaf dikatakan memperolehi keyakinan yang dinamakan ainul yaqin. Pada tahap ainul yaqin makrifatnya ghaib dan dia juga ghaib dari dirinya sendiri. Maksud ghaib di sini adalah hilang perhatian dan kesedaran terhadap sesuatu perkara.. Beginilah hukum makrifat yang berlaku. Makrifat lebih tinggi nilainya dari ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan adalah pencapaian terhadap persoalan yang terpecah-pecah bidangnya. Makrifat pula adalah hasil pencapaian terhadap hakikat-hakikat yang menyeluruh iaitu hakikat kepada hakikat-hakikat. Tetapi, penyaksian mata hati jauh lebih tinggi dari ilmu dan makrifat kerana penyaksian itu adalah hasil dari kemahuan keras dan perjuangan yang gigih disertai dengan upaya hati dan pengalaman. Penyaksian adalah setinggi-tinggi keyakinan. Penyaksian yang paling tinggi ialah penyaksian hakiki oleh mata hati. Ia merupakan keyakinan yang paling tinggi dan dinamakan haqqul yaqin. Pada tahap penyaksian hakiki mata hati, mata hati tidak lagi melihat kepada ketiadaan dirinya atau kewujudan dirinya, tetapi Allah s.w.t dilihat dalam segala sesuatu, segala kejadian, dalam diam dan dalam tutur-kata. Penyaksian hakiki mata hati melihat-Nya tanpa dinding penutup antara kita dengan-Nya. Tiada lagi antara atau ruang antara kita dengan Dia. Dia berfirman:Dan Ia (Allah) tetap bersama-sama kamu  di mana sahaja kamu berada. ( Ayat 4 : Surah al-Hadiid)Dia tidak terpisah dari kamu. Penyaksian yang hakiki ialah melihat Allah s.w.t dalam segala sesuatu dan pada setiap waktu. Pandangannya terhadap makhluk tidak menutup pandangannya terhadap Allah s.w.t. Inilah makam keteguhan yang dipenuhi  oleh ketenangan serta kedamaian yang sejati dan tidak berubah-ubah, bernaung di bawah payung Yang Maha Agung dan Ketetapan Yang Teguh. Pada penyaksian yang hakiki tiada lagi ucapan, tiada bahasa, tiada ibarat, tiada ilmu, tiada makrifat, tiada pendengaran, tiada kesedaran, tiada hijab dan semuanya sudah tiada. Tabir hijab telah tersingkap, maka Dia dipandang tanpa ibarat, tanpa huruf, tanpa abjad. Allah s.w.t dipandang dengan mata keyakinan bukan dengan mata zahir atau mata ilmu atau kasyaf. Yakin, semata-mata yakin bahawa Dia yang dipandang sekalipun tidak ada sesuatu pengetahuan untuk diceritakan dan tidak ada sesuatu pengenalan untuk dipamerkan.Orang yang memperolehi haqqul yaqin berada dalam suasana hatinya kekal bersama-sama Allah s.w.t pada setiap ketika, setiap ruang dan setiap keadaan. Dia kembali kepada kehidupan seperti manusia biasa dengan suasana hati yang demikian, di mana mata hatinya sentiasa menyaksikan Yang Hakiki. Allah s.w.t dilihat dalam dua perkara yang berlawanan dengan sekali pandang. Dia melihat Allah s.w.t pada orang yang membunuh dan orang yang kena bunuh. Dia melihat Allah s.w.t yang menghidupkan dan mematikan, menaikkan dan menjatuhkan, menggerakkan dan mendiamkan. Tiada lagi perkaitannya dengan kewujudan atau ketidakwujudan dirinya. Wujud Allah Esa, Allah s.w.t meliputi segala sesuatu.

Al-Hikam#43-44

43 & 44: REDA ATAU TIDAK KEPADA NAFSU PUNCA MAKSIAT ATAU TAAT.INDUK SEGALA MAKSIAT, SYAHWAT DAN KELALAIAN ADALAH REDA TERHADAP NAFSU DAN SUMBER SEGALA TAAT, TERPELIHARA DIRI (DARI SYAHWAT) DAN BANGUN (PADA TAAT) ADALAH TIDAK REDA KEPADA NAFSU.BERSAHABAT DENGAN ORANG JAHIL YANG TIDAK MENURUT HAWA NAFSU  LEBIH BAIK DARIPADA BERSAHABAT DENGAN ORANG ALIM YANG TUNDUK KEPADA NAFSU. ILMU APAKAH YANG DAPAT DIPANGGIL BAGI ORANG ALIM YANG DITAWAN OLEH NAFSUNYA, SEBALIKNYA KEJAHILAN APAKAH YANG DAPAT DISEBUTKAN BAGI SESEORANG YANG SUDAH DAPAT MENGEKANG NAFSUNYA.


Hikmat 42 memaparkan sifat iblis yang menyalahi ubudiyah. Hikmat 43 dan 44 ini pula akan menghuraikan nafsu, yang biasa dipanggil hawa nafsu. Terdapat perbezaan antara sifat iblis dengan hawa nafsu. Sifat iblis adalah pendatang haram sementara hawa nafsu adalah tuan rumah yang mengizinkan pendatang haram tinggal di rumahnya. Tidak mungkin ada sifat yang menyalahi ubudiyah jika tidak ada hawa nafsu. Malaikat tidak mempunyai hawa nafsu, sebab itu mereka sentiasa taat dan menjalankan tugas mereka dengan sempurna, malah mereka tidak tahu berbuat derhaka kepada Allah s.w.t. Matahari tidak ada hawa nafsu, sebab itu ia tidak menyimpang dari orbitnya. Manusia mempunyai hawa nafsu sebab itu manusia boleh berbuat tidak taat dan boleh lari dari jalan lurus yang dibentangkan kepada mereka.Iblis dan kuncu-kuncunya iaitu syaitan bertindak memberi saranan dan cadangan tetapi tidak berkuasa menggerakkan mana-mana anggota manusia supaya  melakukan sesuatu yang dia ingini. Tetapi, jika hawa nafsu menerima saranan dan cadangan iblis itu maka hawa nafsu berkuasa memaksa anggota tubuh badannya supaya berbuat sebagaimana yang disarankan oleh iblis itu. Iblis menyalurkan sifat-sifat, dan hawa nafsulah yang menerima serta memakai sifat-sifat tersebut. Satu perkara yang ketara adalah saranan atau idea yang disampaikan oleh iblis dan syaitan kepada hawa nafsu itu dirasai oleh hawa nafsu bahawa saranan itu datang dari dirinya sendiri, bukan disalurkan kepadanya dari sumber lain. Hawa nafsu akan mempertahankan pendapat iblis dan syaitan yang diterimanya itu seperti dia mempertahankan pendapatnya sendiri bahkan dia mendabik dada mengakui bahawa pendapat tersebut adalah pendapatnya sendiri. Karl Marx yang menyebarkan fahaman tidak bertuhan tidak mengatakan fahaman itu sebagai rencana iblis tetapi dia mengakui bahawa dialah yang menemui fahaman tersebut. Peter yang menyebarkan fahaman Tuhan tiga dalam satu tidak mengatakan iblis yang mengajarnya tetapi mengatakan dia menerima wahyu dari Tuhan. Begitulah kebodohan dan kesombongan hawa nafsu yang tidak sedar dirinya ditunggangi oleh iblis dan syaitan. Apabila dia menerima cadangan dari iblis dan syaitan dia derhaka kepada Tuhan dan melakukan syirik terhadap-Nya.Hawa nafsu bukan setakat mampu menerima rangsangan dari iblis dan syaitan malah dia sendiri berupaya merangsang dirinya sendiri tanpa dirangsang oleh iblis dan syaitan. Rangsangan yang muncul dari hawa nafsu sendiri mengarah kepada melakukan maksiat, memenuhi tuntutan syahwat dan asyik dengan perkara yang melalaikan. Apabila iblis dan syaitan memberi rangsangan yang sesuai dengan sifat nafsu itu sendiri mudahlah dia melakukan maksiat dan kemunkaran. Dia tidak berasa sedih bila berbuat kejahatan dan tidak berasa rugi bila hanyut di dalam lautan kelalaian. Apa yang penting baginya ialah memenuhi apa yang dia ingini tanpa menghiraukan akibatnya.Seseorang yang diistilahkan sebagai jahil tetapi tidak menurut hawa nafsu, tidak ada padanya sifat megah, sombong, takbur dan bodoh. Dia boleh tunduk kepada kebenaran jika kebenaran dibentangkan kepadanya. Dia boleh juga menyampaikan kebenaran yang diketahuinya kepada orang lain. Jadi, kebodohan apakah yang boleh dikatakan kepada orang seperti ini yang bersedia menerima dan menyampaikan kebenaran. Orang yang diistilahkan sebagai alim pula, bagaimana boleh dikatakan alim jika dia menurut hawa nafsunya, memakai sifat bodoh dan sombong, menolak kebenaran jika datang dari orang lain atau tidak secucuk dengan kehendak nafsunya. Orang alim yang menurut hawa nafsu tidak mengajak manusia menyembah Allah s.w.t sebaliknya mengajak mereka menyembah ilmunya. Manusia lain menjadi alat baginya untuk menaikkan ego dirinya sendiri. Oleh yang demikian adalah lebih baik jika bersahabat dengan orang jahil yang tidak tunduk kepada hawa nafsunya. Kejahilan tidak menghalangnya untuk mengenali kebenaran dan dia juga mampu memberi sokongan ke arah kebenaran.Sifat iblis adalah hijab diluar hati dan hawa nafsu adalah hijab di dalam hati. Jika hijab diluar disingkapkan dengan tenaga kebenaran, maka hijab di dalam ini juga perlu disingkapkan dengan tenaga kebenaran. Nafsu mesti ditundukkan kepada kebenaran. Pekerjaan ini bukanlah mudah kerana nafsu kita adalah diri kita sendiri. Tidak ada beza pada hakikatnya diantara nafsu, hati dengan diri. Memerangi hawa nafsu bererti memerangi diri sendiri. Di dalam diri sendiri itu berkumpul kemahuan, cita-cita, ilmu pengetahuan dan lain-lain. Apabila mahu berperang dengan diri sendiri tidak boleh meminta pertolongan kepada diri sendiri. Ilmu tidak berdaya menentang hawa nafsu kerana ilmu adalah alatnya dan alat akan patuh kepada tuannya. Perbahasan ilmu yang berlarutan akan menambahkan kekeliruan dan akan meneguhkan nafsu. Makrifat juga tidak boleh digunakan untuk melawan hawa nafsu kerana jika makrifat digunakan ia akan menarik ke dalam ilmu, maka terjadilah yang serupa. Oleh itu jangan meminta tolong kepada ilmu  dan jangan meminta bantuan makrifat untuk melawan nafsu tetapi larilah kepada Allah s.w.t. Menjeritlah sekuat-kuat hati, pintalah pertolongan-Nya. Istiqamah atau tetap di dalam ubudiyah, menunaikan kewajipan sambil terus berserah diri kepada-Nya, itulah kekuatan yang dapat menumpaskan hawa nafsu. Jangan sekali-kali menuntut kekeramatan kerana ia juga menjadi alat hawa nafsu. Tetaplah di dalam ubudiyah, tidak berubah keyakinan terhadap Allah s.w.t, kekuasan-Nya, kebijaksanaan-Nya dan ketuhanan-Nya baik ketika sihat atau sakit, senang atau susah, kaya atau miskin, suka atau duka. Apabila wujud sifat reda kepada ketentuan Allah s.w.t, itu tandanya hawa nafsu sudah tunduk kepada kebenaran.

Al-Hikam#42

42: SIFAT YANG MENYALAHI UBUDIYAHKELUARLAH DARI SIFAT-SIFAT KEMANUSIAAN YANG BERTENTANGAN DENGAN UBUDIYAH SUPAYA MUDAH BAGI KAMU UNTUK MENYAHUT PANGGILAN ALLAH  DAN MENDEKAT KE HADRAT-NYA.


Hikmat 41 menyingkap tentang hijab-hijab. Melalui huraian ternyata betapa sukarnya untuk melepasi hijab-hijab sebelum sampai kepada Allah s.w.t. Hikmat 42 ini memberi panduan untuk melepasi halangan dan mendekat kepada-Nya. Kita diajak supaya melepasi sifat-sifat kemanusiaan yang menyalahi ubudiyah. Sifat ubudiyah yang sejati ialah sifat malaikat kerana malaikat adalah hamba Allah s.w.t yang paling tepat melaksanakan perintah-Nya. Sifat yang paling menyalahi ubudiyah ialah sifat iblis kerana iblislah yang paling derhaka kepada Allah s.w.t. Jadi, Hikmat ini boleh membawa maksud, keluarlah dari sifat-sifat iblis dan masuklah kepada sifat-sifat malaikat supaya kita boleh melaksanakan tuntutan Allah s.w.t dengan tepat dan kita dapat mendekat ke Hadrat-Nya. Dalam diri manusia ada sifat-sifat malaikat dan ada pula lawannya iaitu sifat-sifat iblis. Mesti dibuat pengasingan di antara kedua-dua jenis sifat tersebut. Mesti diistiharkan jihad terhadap iblis yang menyalurkan sifat-sifatnya ke dalam diri kita.Sifat-sifat iblis, sekiranya disenaraikan, sangatlah banyak. Sudah memadai jika dirumuskan bahawa apa juga yang menyekat atau melengahkan kita daripada menyempurnakan tuntutan Allah s.w.t adalah berpunca daripada sifat iblis. Jalan untuk menghapuskan sifat-sifat yang demikian ada dua, iaitu jalan panjang dan satu lagi, jalan singkat. Jalan panjang adalah mengenal satu persatu semua sifat buruk itu, mempelajari cara ia bertindak, kesannya kepada diri kita, tanda kita memilikinya, cara mencegahnya sekiranya belum dijangkiti dan cara mengubatinya jika sudah dijangkiti. Jalan yang paling singkat adalah meninggalkan apa sahaja yang selain Allah s.w.t, berpegang kepada firman-Nya ayat 91, surah al-An’aam yang bermaksud:Katakanlah, “Allah!” dan biarkan mereka bermain-main dalam kesesatan mereka.Penting bagi orang yang belum mencapai makam keteguhan untuk tidak mempedulikan apa yang berlaku di sekelilingnya kerana dia belum dapat memisahkan dirinya dari sifat-sifat kemanusiaan. Dia masih melihat perbuatan makhluk. Campurtangannya dalam urusan makhluk menutup pandangan mata hatinya dari Tuhan. Kekeruhan dalam kehidupan dunia akan memalapkan cahaya rohaninya. Lebih baik jika dia membenamkan dirinya ke dalam ibadat, zahirnya bersungguh-sungguh di dalam syariat dan batinnya teguh dengan iman. Ingatlah, dunia adalah puteri iblis. Sesiapa yang berkahwin dengan si puteri ini pasti si bapa akan kerap mengunjunginya.Sifat iblis adalah ingkar kepada kebenaran. Iblis adalah tenaga gelap. Kebenaran pula adalah cahaya. Dalam melakukan pekerjaan menghalang cahaya kegelapan iblis mengenderai kegelapan nafsu. Apabila kegelapan nafsu yang ditambahkan lagi dengan kegelapan iblis membalut hati maka hati tidak akan dapat menerima cahaya kebenaran. Balutan ini menutup mata  hati dari menyaksikan al-Haq. Sifat iblis dan sifat nafsu menjadi tenaga yang bertindak menolak sebarang kebenaran yang ingin masuk ke dalam hati. Walaupun akal boleh mengakui kebenaran namun, tenaga sifat iblis akan menghalang hujah akal dari diterima oleh hati. Sebab itu orang yang mengakui kebenaran masih juga boleh berbuat perkara yang berlawanan dengan pengakuannya itu. Tenaga iblis dan tenaga nafsu itulah yang membentuk tenaga ingkar (kufur atau menolak kebenaran). Tenaga kekufuran ini akan menawan hati semua orang, termasuklah hati orang-orang Islam.   Kehadiran tenaga ini dalam diri mengheret seseorang kepada perbuatan fasiq, kemunafikan, kekafiran, kemusyrikan, maksiat dan segala perkara yang dimurkai Allah s.w.t.Tenaga ingkar ini mesti dihapuskan dengan cara menekannya sekuat mungkin dengan tenaga kebenaran. Antara kebenaran yang mahu ditekankan dan dimasukkan ke dalam hati adalah pengakuan-pengakuan : “Allah Maha Suci! Allah Maha Besar! Segala puji untuk Allah! Allah Maha Esa dan tiada sesuatu yang bersekutu dengan-Nya! Tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad s.a.w adalah Pesuruh Allah!”Bila kita menyebut Maha Suci Allah, bukan bermakna kita menyucikan Allah s.w.t. Allah s.w.t bukanlah tidak bersih hingga perlu disucikan. Maha Suci Allah itu sempurna kesucian-Nya sejak azali hingga kepada tanpa kesudahan. Dia tidak memerlukan makhluk untuk menyucikan-Nya dan tidak ada makhluk yang layak berbuat demikian. Begitu juga dengan sebutan Allah Maha Besar, bukan bermakna Allah s.w.t itu kecil hingga perlu diperbesarkan. Allah s.w.t sudah cukup besar, sempurna kebesaran-Nya, tidak perlu lagi diperbesarkan dan tidak ada makhluk yang layak memperbesarkan-Nya.Apa juga perbuatan makhluk tidak ada yang mengenai Allah s.w.t. Sebutan hanyalah pengakuan atau penyaksian semata-mata. Kita mengaku yang benar sebagaimana benarnya. Tenaga pengakuan, penerimaan dan ketundukan terhadap kebenaran inilah yang diperlukan oleh hati untuk menjadikannya kuat, bukan untuk faedah Tuhan. Memasukkan tenaga kebenaran ke dalam hati inilah yang dinamakan zikir. Tenaga kebenaran hendaklah dipalu keras-keras kepada tenaga ingkar yang membaluti hati. Apabila dihentam terus menerus tenaga ingkar itu tidak dapat bertahan lalu ia hancur. Bebaslah hati untuk menerima  cahaya kebenaran.Perlu diperingatkan bahawa fungsi zikir bukanlah untuk memecahkan hijab yang menutupi pintu langit. Kita tidak mahu terbang ke langit. Kita mencari kebenaran yang hakiki dan Kebenaran Hakiki bukan berada di atas langit. Ia berada di dalam diri kita sendiri. Hijab yang menutupi kita daripada Kebenaran Hakiki ini yang hendak dihapuskan.Rangsangan atau gerakan yang datang daripada tenaga iblis, disampaikan kepada hati yang dibaluti oleh kegelapan nafsu, dalam keadaan hati merasakan bahawa ia datang daripada hati itu sendiri, bukan ia ditekankan oleh tenaga luar. Hijab nafsu menyebabkan hati tidak sedar dan tidak mengetahui yang ia sudah dikuasai oleh tenaga iblis. Apabila hijab nafsu itu berjaya disingkap hati mampu mengasingkan yang asli dengan yang mendatang. Setiap bisikan kepada kejahatan yang sampai kepada hati didengar oleh hati seolah-olah mendengar orang lain menyampaikan bisikan itu. Oleh itu hati mudah mengawasi bisikan yang datang itu. Beginilah suasana hati yang sudah disinari oleh cahaya kebenaran. Hati yang berada dalam cahaya mudah menyelamatkan dirinya daripada terjerumus ke dalam sifat-sifat dan perbuatan yang dimurkai Allah s.w.t.  

Al-Hikam#41

41: DIRI YANG TERHIJAB, ALLAH S.W.T TIDAK DIHIJABAL-HAQ (ALLAH S.W.T) TIDAK TERHIJAB OLEH SESUATU APA PUN, SEBALIKNYA KAMULAH YANG TERHIJAB DARI MELIHAT KEPADA-NYA. JIKA ALLAH S.W.T DIHIJAB OLEH SESUATU TENTU SESUATU ITU DAPAT MENUTUP ALLAH S.W.T. JIKA ADA SESUATU YANG MENUTUP  ALLAH S.W.T BERMAKNA WUJUDNYA DAPAT DIKURUNG OLEH SESUATU. SESUATU YANG MENGURUNG ADALAH LEBIH BERKUASA DARI YANG DIKURUNG, SEDANGKAN ALLAH S.W.T BERKUASA ATAS SEMUA HAMBA-NYA.


Dunia dan akhirat dan semua yang ada di antara kedua-duanya adalah makhluk yang memenuhi alam. Apa sahaja yang selain Allah s.w.t adalah makhluk dan mengambil tempat masing-masing di dalam alam. Makhluk ciptaan Allah s.w.t bukan setakat manusia, jin, malaikat, Kursi dan Arasy sahaja bahkan kehendak, cita-cita, angan-angan, khayalan, bahasa, ibarat dan ilmu pengetahuan juga termasuk dalam istilah makhluk yang Allah s.w.t ciptakan. Oleh sebab Allah s.w.t tidak serupa dengan sesuatu maka Dia tidak boleh dibahasakan, diibaratkan, disifatkan, dikhayalkan dan lain-lain. Apa sahaja yang selain Allah s.w.t adalah hijab yang menutup pandangan mata hati dari melihat Allah s.w.t, walaupun Allah s.w.t tidak memakai tutupan. Nama-nama, sifat-sifat dan perbuatan adalah juga hijab.Sekiranya ada orang yang mampu berkenderaan menjelajah ke seluruh alam maya untuk mencari Allah s.w.t nescaya Allah s.w.t tidak akan ditemuinya kerana Dia bukan anasir alam. Sekiranya mereka mencari dengan menggunakan bahasa maka Allah s.w.t juga tidak akan ditemui kerana Dia tidak ditakluki oleh hukum bahasa dan ibarat. Ilmu pengetahuan juga tidak sanggup mencapai Yang Esa kerana ilmu masih terikat kepada menyaksikan dan disaksikan iaitu suasana serba dua. Ilmu tidak mampu sampai kepada Yang Esa, yang sama menyaksikan dan disaksikan. Nama-nama juga hijab kerana tidak mampu menzahirkan Yang Empunya nama. Sifat-sifat juga tidak mampu menzahirkan zat. Sifat hanyalah sekadar memperihalkan bagi menggerakkan pemahaman sahaja, sedangkan Dia Maha Suci lagi Maha Tinggi dari apa yang disifatkan. Setelah gagal mencari dalam semua itu seseorang akan sampai ke puncak pencariannya iaitu kejahilan tentang zat Ilahiat dan inilah yang dinamakan makrifat. Orang yang sampai di sinilah yang dipanggil orang yang mengenal Allah s.w.t.Sekiranya ilmu  mampu melepaskan kita dari medan ilmu, kita akan sampai kepada medan makrifat. Jika kita bersatu dengan ilmu, kita akan terhijab. Ilmu mesti dijadikan kenderaan menuju kepada makrifat. Diri kita tidak boleh disatukan dengan ilmu. Apabila kita tiba kepada makrifat kita akan tercengang-cengang menghadapi hijab kejahilan. Kita terpaksa mengakui bahawa zat Ilahiat tidak dapat diperkatakan dan tidak dapat disifatkan. Orang yang sampai kepada perhentian ini tidak ada jalan lagi baginya untuk sampai kepada Allah s.w.t melainkan menyerahkan dirinya kepada Allah s.w.t dengan menanggalkan apa sahaja yang dianggapnya boleh menyampaikannya kepada Allah s.w.t. Maka keluarlah dia dari apa sahaja yang selain Allah s.w.t. Dibuangnya segala hijab-hijab yang menutupi mata hatinya. Dia keluar dari ilmunya, amalnya, makrifatnya, sifatnya, namanya, bahasa dan ibarat. Pelepasan yang menyeluruh ini adalah pintu masuk ke Hadrat-Nya dan dia masuk dengan kekuatan Nurullah, iaitu tarikan yang langsung dari Allah s.w.t.Nur berlapis nur, Allah memimpin sesiapa yang di kehendaki-Nya (menurut undang-undang dan peraturan-Nya) kepada nur hidayah-Nya itu. ( Ayat 35 : Surah an-Nur )Makhluk tidak akan zahir jika tidak ada Nur-Nya. Makrifat tidak mungkin dicapai tanpa suluhan Nur-Nya. Ilmu tidak mungkin diperolehi tanpa penerangan Nur-Nya. Mata hati tidak mungkin boleh melihat tanpa pancaran cahaya Nur-Nya. Allah s.w.t memimpin kepada Nur-Nya siapa yang Dia kehendaki. Orang yang dipimpin kepada Nur-Nya adalah orang yang mampu keluar dari hijab nafsu dan akal. Nafsu ditundukkan kepada yang hak sehingga tidak ada keinginan dan cita-cita melainkan mahu bertemu dengan Allah s.w.t. Akal ditundukkan kepada yang hak sehingga tidak ada yang difikir dan direnungi melainkan Wajah Allah s.w.t jua yang menyata pada semua arah. Walau ke arah mana pun dihalakan pandangan akal dan pandangan hati, Wajah Allah s.w.t jua yang kelihatan.Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk menghadap Allah) maka di situlah arah yang diredai Allah; sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmat dan limpah kurnia-Nya), lagi sentiasa Mengetahui. ( Ayat 115 : Surah al-Baqarah )

Al-Hikam#40

40: HIJAB  MENUTUP DIRI  DAN ALAM GHAIBUSAHA KAMU UNTUK MENYINGKAP KEAIBAN YANG TERSEMBUNYI DALAM DIRI KAMU ADALAH LEBIH BAIK DARIPADA USAHA KAMU UNTUK TERBUKA BAGI KAMU TIRAI GHAIB.


Sekiranya kita mengamati Kalam-kalam Hikmat yang telah dihuraikan terlebih dahulu, kita akan mendapati bahawa suasana yang terbaik dan kurang baik sering digandingkan. Kita akan lebih tercenderung untuk melihat kepada suasana yang terbaik, dengan itu mengarahkan usaha kita menuju ke arahnya. Tetapi, kita tidak terlepas daripada sifat jahil dan tergopoh gapah. Kita mudah terkeliru dalam memilih jalan serta tidak sabar menanti hasil yang baik. Sebelum kita melencung lebih jauh, Hikmat 40 ini memberi teguran dan petunjuk jalan yang betul. Kita tidak seharusnya hanya asyik memandang kepada mereka yang dipilih untuk sampai kepada Allah s.w.t dan dibukakan kepada mereka ini tabir yang menutup segala keghaiban. Walaupun kita terpesona dengan pencapaian yang telah mereka perolehi, kita tidak sepatutnya mengarahkan semangat dan usaha gigih untuk mencapai keadaan yang serupa. Sudah menjadi kebiasaan untuk sebahagian ahli tarekat mengarahkan amal ibadat dan zikir bagi tujuan menyingkap tabir ghaib. Beberapa jenis zikir diamalkan untuk memecahkan hijab-hijab tertentu. Zikir-zikir secara demikian tidak menyampaikan seseorang hamba kepada Tuhannya. Setelah mereka banyak berzikir namun, hati mereka masih berasa jauh daripada Tuhan, maka mereka mula berasa berputus-asa dan timbullah keraguan di dalam hatinya. Keadaan yang demikian terjadi kepada  orang yang menjadikan zikir sebagai alat untuk memperolehi kedudukan.Ada pula orang yang menjadikan zikir sebagai alat untuk memperolehi kekeramatan. Di tengah jalan mereka mendapat jazbah khadam lalu dibawa ke alam khadam. Terpesonalah mereka dengan berbagai-bagai makhluk halus yang mempamerkan berbagai-bagai keanehan sehingga lupalah mereka kepada Allah s.w.t yang menjadi maksud dan tujuan. Mereka tidak lagi meminta kepada Allah s.w.t tetapi meminta kepada khadam. Bertambah teballah dinding antara mereka dengan tauhid yang hakiki. Kalam Hikmat di atas menarik orang yang baharu dalam perjalanan supaya menetapkan kaki atas landasan yang betul iaitu dengan memerhatikan kepada diri sendiri, memeriksa segala keaiban diri dan memperbetulkannya, sesuai dengan firman Allah s.w.t:Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)? ( Ayat 21 : Surah adz-Dzaariyaat )Ungkapan yang popular di kalangan ahli tasauf adalah:Siapa yang kenal dirinya kenallah Tuhannya. Siapa yang kenal Tuhannya binasalah jasadnya.Usaha menyingkap keghaiban yang menyelimuti diri sendiri adalah sebaik-baik pekerjaan untuk mencapai tujuan. Kenalilah keaslian diri sendiri yang suci murni. Ia tidak dapat mengeluarkan cahayanya kerana ditutup oleh keaiban dan kekotoran yang melekat di hati. Arahkan usaha dan perhatian untuk mencari keaiban dan kekotoran tersebut, agar dapat dihapuskan dan dibersihkan. Apabila kulit yang membalut keaslian itu sudah terbuang baharulah diri kita dapat memancarkan sinarnya. Allah s.w.t adalah nur bagi langit dan bumi. Apabila Nurullah memancar dari Hadrat Ilahi dan bertemu dengan Nurullah yang memancar dari lubuk hati nurani hamba, maka terjadilah pertemuan Nurullah dari atas dengan Nurullah dari bawah:Cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang dan peraturan-Nya) kepada nur hidayah-Nya itu; dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia; dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. ( Ayat 35 : Surah an-Nur ) Hamba menyaksikan ketuhanan Allah s.w.t dan Allah s.w.t menyaksikan pengabdian hamba. Inilah makam musyahadah. Sekiranya kita mahu mencapai makam ini berusahalah menyucikan diri sendiri kemudian berserah terus kepada Allah s.w.t. Kuncinya ialah firman Allah:Katakanlah (kepada mereka): “Allah jualah (yang menurunkannya)”, kemudian, biarkanlah mereka leka  bermain-main dalam kesesatannya. ( Ayat 91 : Surah al-An’aam )Hanya orang yang benar-benar berserah diri kepada Allah s.w.t boleh berkata: “Allah yang berkuasa! Allah yang mengetahui! Allah itu dan Allah ini. Allah segala-galanya”. Kemudian mereka berpegang teguh dengan pengakuan itu dan tidak memperdulikan lagi apa yang terjadi. Allah s.w.t menyambut para hamba yang demikian dengan firman-Nya:Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan  berkata, “Tuhan kami ialah Allah!”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa  (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya perkara yang tidak baik terhadap kamu)  dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu”. ( Ayat 30 : Surah Fussilat )Jalan untuk mencapai keteguhan hati adalah dengan berserah diri kepada Allah s.w.t. Keteguhan hati membawa seseorang kepada syurga semasa hidupnya. Syurga ini dinamakan makrifat dan ia lebih indah daripada syurga akhirat kerana syurga akhirat adalah makhluk sedangkan syurga makrifat adalah Empunya syurga akhirat itu. Jika syurga akhirat itu sangat indah dan sangat sejahtera maka Empunya syurga itu Maha Indah dan Maha Sejahtera. Apalah nilai keindahan di sisi Pemilik yang melahirkan keindahan, semua keindahan adalah pancaran Keindahan-Nya. Inilah nikmat yang Allah s.w.t sediakan kepada hamba-hamba-Nya yang sanggup terjun ke dalam dirinya sendiri dan melupakan yang lain-lainnya, tidak mengejar kemuliaan duniawi dan ukhrawi, tidak mencari kasyaf dan kekeramatan, tidak menuntut sesuatu apa pun kecuali menyerahkan segala-galanya kepada Allah s.w.t dan reda dengan semua keputusan-Nya.

Al-Hikam#39

39: NUR-NUR KURNIAAN ALLAH S.W.TDIKURNIAKAN PETUNJUK KEPADA ORANG-ORANG YANG BERJALAN KEPADA ALLAH S.W.T DENGAN NUR-NUR TAWAJJUH (MENGHADAP ALLAH S.W.T) DAN BAGI ORANG YANG TELAH SAMPAI BAGI MEREKA IALAH NUR-NUR AL-MUWAAJAHAH (MUSYAHADAH ATAU SALING BERHADAPAN ANTARA HAMBA DENGAN ALLAH S.W.T). MEREKA YANG PERTAMA ITU ADALAH UNTUK NUR-NUR, SEDANGKAN MEREKA YANG TELAH SAMPAI ADALAH NUR-NUR ITU BUAT MEREKA LANTARAN MEREKA INI ADALAH KERANA ALLAH S.W.T BUKAN KERANA SESUATU SELAIN-NYA. KATAKANLAH: “ALLAH!” KEMUDIAN BIARKAN MEREKA (ORANG RAMAI) BERMAIN-MAIN DALAM KESESATAN.


Hikmat 39 ini menceritakan keadaan dua golongan yang dipanggil sebagai ahli tawajjuh dan ahli musyahadah. Ahli tawajjuh adalah orang salih yang berpegang teguh kepada syariat Allah s.w.t dan biasanya digelar ahli syariat. Orang salih atau ahli syariat melihat dirinya sebagai satu individu yang berkedudukan sebagai hamba Allah s.w.t. Dia berkewajipan melaksanakan segala perintah Allah s.w.t dan menjauhkan segala larangan-Nya. Dia melaksanakan amal kebaikan dengan ikhlas, tidak didorong oleh riak dan ujub, tidak berbuat sama’ah dan tidak menyombong dengan amal tersebut. Allah s.w.t memberkati amal ibadat yang demikian dan mengurniakan kepada mereka Nur Tawajjuh. Nur yang demikian membuat mereka merasa damai dan tenang serta bertambah rasa kehampiran dengan Allah s.w.t. Mereka tidak berasa berat untuk melakukan ibadat walau berapa banyak sekalipun kerana semakin banyak ibadat yang mereka lakukan semakin mereka memperolehi taqarrub (mendekat dan berhadap kepada Allah s.w.t) dan semakin mereka merasa kelazatan beribadat. Mereka bukan sahaja meninggalkan perkara yang haram tetapi juga yang mubah. Banyak daripada perkara yang halal ditinggalkan bagi menjaga agar mereka tidak terdorong mendekati yang haram, apa lagi melakukannya. Inilah sifat ahli syariat, memakai pakaian warak dan berjalan dengan Nur Tawajjuh.Golongan kedua ialah ahli musyahadah, biasanya dipanggil ahli hakikat. Ahli hakikat ialah orang yang mencapai hakikat syariat dan tauhid sehingga tidak melihat lagi sesuatu kecuali Allah s.w.t. Mereka menyaksikan bahawa Allah s.w.t adalah Tuhan Yang Maha Berdiri Dengan Sendiri, Maha Mentadbir dan Maha Menentukan. Mereka menyaksikan sifat Allah Yang Maha Sempurna dan Kekal. Pandangan mereka hanya tertumpu kepada Allah Azza wa Jalla. Segala yang maujud tidak memberi bekas pada hati mereka, hanya Wujud Allah s.w.t yang menguasainya, terjadilah musyahadah iaitu saling berhadapan. nur-nur al-muwaajahah meleburkan hijab yang menutupi alam maujud lalu mata hati melihat kepada Yang Tersembunyi disebalik yang nyata. Hamba melihat Rahsia Tuhan yang selama ini terhijab oleh Alam al-Mulk (alam kejadian) dan Allah s.w.t menyaksikan pengabdian hamba-Nya. Terbukalah kepada si hamba rahsia Alam Malakut dan nyatalah kedudukan hamba sebagai ayat atau tanda wujud. Hamba melihat ketuhanan Allah s.w.t yang meliputi segala sesuatu dan Allah s.w.t menyaksikan pengabdian hamba-Nya meliputi ilmunya, ahwalnya dan hatinya. Allah s.w.t bukakan tabir hijab agar mata hati hamba-Nya dapat menyaksikan kerajaan-Nya yang meliputi yang nyata dan juga yang ghaib.Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yaqin. ( Ayat 75 : Surah al-An’aam )
Dan janganlah engkau menyembah tuhan yang lain bersama-sama Allah. Tiada  Tuhan melainkan Dia. Tiap-tiap sesuatu akan binasa melainkan Zat Allah.  ( Ayat 88 : Surah al-Qasas )Ada perbezaan pandangan di antara ahli syariat dan ahli hakikat. Ahli syariat berjihad membunuh musuh-musuh Allah s.w.t kerana mengharapkan keredaan-Nya, moga-moga Allah s.w.t mengurniakan kepada mereka nur-nur yang membawa mereka hampir kepada-Nya. Ahli hakikat pula ketika berjihad dan membunuh mereka melihat kepada firman Allah s.w.t:Maka bukanlah kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allah jualah yang menyebabkan pembunuhan mereka. Dan bukanlah engkau (wahai Muhammad) yang melempar ketika engkau melempar, akan tetapi Allah jualah yang melempar (untuk membinasakan orang-orang kafir). ( Ayat 17 : Surah al-Anfaal )Orang-orang yang sampai kepada Allah s.w.t berkecimpung dalam nur-nur kerana:Allah yang menerangi langit dan bumi. ( Ayat 35 : Surah an-Nur )Nurullah menjadi jelas nyata pada penglihatan mata hati ahli musyahadah. Kewujudan langit dan bumi tidak menghijab mata hati mereka. Tidak mungkin terlihat langit dan  bumi jika  Nurullah tidak menerangi keduanya.

Al-Hikam#38

38: SEBARKAN KEBAIKAN MENGIKUT KEMAMPUANHENDAKLAH BERBELANJA AKAN KEKAYAANNYA BAGI MEREKA YANG TELAH SAMPAI KEPADA ALLAH S.W.T DAN MENURUT KADAR KEMAMPUANNYA BAGI YANG SEDANG BERJALAN KEPADA ALLAH S.W.T.


Hikmat 38 di atas mengemukakan ujian kepada hati sejauh mana kekuatannya beriman, berserah diri dan yakin dengan janji Allah s.w.t. Ia juga menjadi pengukur pada tahap mana seseorang yang berjalan pada jalan kerohanian itu berada. Hikmat di atas menjurus khusus kepada harta kekayaan. Harta merupakan sesuatu yang sangat diperlukan oleh manusia. Manusia memerlukan harta untuk menanggung keperluan hidupnya, bahkan ibadat-ibadat seperti haji dan zakat perlu dilakukan dengan menggunakan harta. Sedekah juga memerlukan harta. Membuat kebajikan seperti mendirikan masjid, hospital, sekolah dan lain-lain juga memerlukan harta. Oleh kerana besarnya peranan harta kepada kehidupan manusia, maka kebanyakan daripada aktiviti manusia berkisar pada soal harta atau ekonomi. Pendidikan dan kemahiran disalurkan ke arah ekonomi. Kejayaan atau kegagalan dinilai melalui faktor ekonomi. Perhatian manusia sentiasa tertuju kepada soal ekonomi atau harta dalam membuat sesuatu keputusan.Apabila harta sudah bertapak dalam jiwa seseorang manusia akan menjual maruah dirinya kerana harta. Orang miskin sanggup diperkudakan oleh orang kaya kerana harta. Orang kaya sanggup melakukan rasuah dan penganiayaan kerana harta. Harta menjadi raja menguasai jiwa raga manusia. Segala sesuatu dinilai dengan harta. Persahabatan harus dibeli dengan harta. Kesetiaan juga perlu dibayar dengan harta.Hikmat di atas menarik perhatian orang yang sedang berjalan pada jalan kerohanian agar memerhatikan hatinya, bagaimanakah hubungan hatinya dengan harta. Ia menyatakan bahawa orang yang telah sampai kepada Allah s.w.t dan memperolehi makrifat-Nya tidak seharusnya menyimpan harta, hendaklah dia membelanjakan ke jalan Allah s.w.t dan yakin dengan janji Allah s.w.t tentang rezekinya. Orang yang masih dalam perjalanan pula hendaklah membelanjakan ke jalan Allah s.w.t menurut kesanggupannya. Sejarah banyak menceritakan tentang sikap hamba-hamba pilihan Allah s.w.t terhadap harta.Saidina Abu Bakar as-Siddik r.a menyumbangkan kesemua hartanya untuk jihad fi-sabilillah, tidak ada satu dirham pun disimpannya. Bila Rasulullah s.a.w bertanyakan kepadanya mengapakah tidak ditinggalkan sedikit buat menguruskan keperluannya, beliau r.a menjawab, “Cukuplah Allah dan Rasulullah bagiku”. Abdul Rahman bin Auf yang terkenal dengan kekayaannya, mencari harta bukan untuk kepentingan dirinya tetapi untuk kegunaan menyebarkan agama Allah s.w.t. Salman al-Farisi ketika memegang jawatan amir, tidak mengambil gajinya, sebaliknya beliau menganyam daun kurma untuk dijadikan bakul dan tikar. Hasil anyamannya dijualnya dan apa yang diperolehinya dibahagikan kepada tiga bahagian. Satu bahagian sebagai modal pusingan, satu bahagian buat belanja ahli rumahnya dan satu bahagian lagi disedekahkan kepada golongan miskin. Imam as-Syafi’e r.a sekembalinya ke Makkah dari Yaman telah dihadiahkan puluhan ribu wang emas. Sebelum memasuki kota Makkah beliau telah mendirikan sebuah khemah di luar kota. Dikumpulkan golongan fakir dan miskin dan disedekahkan kesemua wang yang diterimanya sebagai hadiah itu. Setelah kesemua wang itu habis disedekahkan baharulah beliau masuk ke kota Makkah.Rabiatul Adawiah hanya menyimpan sehelai tikar yang usang sebagai sejadah dan sebiji kendi buat mengisi air untuk wuduknya. Beliau tidak menyimpan makanan untuk petangnya. Banyak lagi kisah aulia Allah s.w.t yang menggambarkan bahawa tidak sebesar zarah pun hati mereka terikat dengan harta. Mereka melihat pengidupan dunia ini hanyalah persinggahan sebentar, tidak perlu mengambil bekalan.Bagi orang yang masih dalam perjuangan dan belum lagi sampai kepada Allah s.w.t, mereka tidak sanggup berbuat sebagaimana yang dilakukan oleh aulia Allah s.w.t. Sungguhpun begitu jika dibiarkan harta melekat pada hati akan membahayakan hati itu sendiri. Oleh itu biasakanlah berpisah daripada harta yang disayangi agar rohani akan menjadi lebih kuat dalam perjalanan menuju Allah s.w.t. Allah s.w.t berfirman:Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan. ( Ayat 7 : Surah at-Talaaq )Oleh kerana bidang ekonomi merupakan salah satu fardu kifayah yang perlu diuruskan demi kesejahteraan dan kekuatan kaum muslimin, maka Allah s.w.t memilih dari kalangan kaum muslimin orang-orang tertentu yang dipermudahkan bagi mereka mengembangkan ekonomi mereka. Allah s.w.t bukakan bagi mereka pintu-pintu rezeki. Allah s.w.t kurniakan kepada mereka rezeki yang melimpah-ruah. Mereka seolah-olah berada dalam keadaan menadah bekas dan rezeki dicurahkan ke dalam bekas mereka.Orang yang menyedari harta kekayaannya adalah kurniaan Allah s.w.t, maka harta kekayaan itu menjadi ujian baginya. Orang yang tidak menyedarinya pula, maka harta kekayaan itu menjadi alat istidraj yang akan menghempapnya kelak. Baik ujian mahu pun istidraj, orang yang memikul harta sebenarnya memikul beban yang sangat berat. Golongan yang menghadapi hisab yang paling halus di akhirat kelak adalah mereka yang di dunia memikul harta.Walaupun memikul harta merupakan beban yang berat tetapi sebahagian kaum muslimin perlu mengambil tugas tersebut sebagaimana sebahagian kaum muslimin yang mengambil bidang jihad fi-sabilillah dan mati syahid di medan perang. Dari kalangan nabi-nabi juga ada yang memikul tugas yang berhubung dengan harta, misalnya Nabi Yusuf a.s, Nabi Sulaiman a.s dan Nabi Daud a.s. Al-Quran menceritakan tentang Nabi Yusuf a.s:Dia (Yusuf) berkata: “Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); kerana sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya”. ( Ayat 55 : Surah Yusuf )Nabi Yusuf a.s mengetahui sifat dirinya dan kebolehan yang ada dengannya. Beliau a.s telah menjalani kehidupan yang membuatkan harta tidak sedikit pun menguasai hatinya. Beliau a.s juga mengetahui kebolehan menguruskan harta yang Allah s.w.t kurniakan kepadanya. Demi kebaikan orang ramai Nabi Yusuf a.s menawarkan dirinya kepada raja untuk memegang jawatan pengurus harta kekayaan kerajaan Mesir. Raja bersetuju dengan permintaan Nabi Yusuf a.s itu dan beliau a.s membuktikan kewibawaan dan kebijaksanaan beliau a.s dalam bidang tersebut. Nabi Sulaiman a.s juga menguruskan kekayaan dan kekuasaan. Beliau a.s mempunyai sifat-sifat yang terpuji. Allah s.w.t memanggil hamba-Nya, Sulaiman a.s, sebagai sebaik-baik hamba. Nabi Yusuf a.s dan Nabi Sulaiman a.s menguruskan kekayaan dan kekuasaan atas dasar kehambaan kepada Allah s.w.t.Dan Kami telah kurniakan kepada Nabi Daud (seorang anak bernama) Sulaiman; ia adalah sebaik-baik hamba (yang kuat beribadat), lagi sentiasa rujuk kembali (bertaubat). ( Ayat 30 : Surah Saad )Nabi Sulaiman a.s  bermohon kepada Allah s.w.t agar dikurniakan kepada beliau a.s kerajaan yang besar. Kedua-dua mereka, Nabi Yusuf a.s dan Nabi Sulaiman a.s, meminta untuk menguruskan bidang berkenaan. Ternyata bahawa orang yang boleh menguruskan dengan adil bidang berkenaan adalah orang yang benar-benar mengenali dirinya, mempunyai keyakinan yang teguh, hati yang bulat dan sifat kehambaan yang sebenar-benarnya kepada Allah s.w.tDia (Sulaiman) berkata: “Wahai Tuhanku! Ampunkanlah kesilapanku, dan kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan (yang tidak ada taranya dan) yang tidak akan ada pada sesiapapun kemudian daripadaku; sesungguhnya Engkaulah yang sentiasa Melimpah Kurnia-Nya”. ( Ayat 35 : Surah Saad ) Sesiapa yang ditakdirkan menguruskan bidang kekayaan dan kekuasaan perlulah menjalankan amanah Allah s.w.t itu atas dasar kehambaan kepada-Nya dengan sebaik mungkin.

Al-Hikam#37

37: PANDANGAN HATI DAN AKALBERBEZA ANTARA ORANG YANG MENGAMBIL DALIL DENGAN ALLAH S.W.T DENGAN ORANG YANG MENGAMBIL DALIL ATAS-NYA. ORANG YANG MENGAMBIL DALIL DENGAN ALLAH S.W.T ITULAH YANG MENGENAL HAQ DAN MELETAKKANNYA PADA TEMPATNYA DAN MENETAPKAN TERJADINYA SESUATU DARI ASAL MULANYA. MENGAMBIL DALIL ATAS ALLAH S.W.T ADALAH KERANA TIDAK SAMPAI KEPADA-NYA. MAKA BILAKAH ALLAH S.W.T ITU GHAIB SEHINGGA MEMERLUKAN DALIL UNTUK MENYATAKAN-NYA DAN BILAKAN ALLAH S.W.T ITU JAUH SEHINGGA MEMERLUKAN ALAM UNTUK SAMPAI KEPADA-NYA.


Nur Ilahi yang menyinari hati memperlihatkan Allah s.w.t terlebih dahulu sebelum yang selain-Nya kelihatan. Akal pula melihat anasir alam dan kejadian-kejadian yang berlaku terlebih dahulu sebelum sampai kepada Tuhan yang mengatur segala urusan. Orang-orang hati melihat Wujud Allah s.w.t mengwujudkan alam dan apa yang berlaku di dalamnya dan orang-orang akal pula melihat wujud alam menjadi dalil kepada Wujud Allah s.w.t.
Orang yang sampai kepada Allah s.w.t melihat bahawa Wujud Allah s.w.t adalah Wujud Hakiki dan Wujud Allah s.w.t menerangi wujud makhluk sehingga makhluk menjadi nyata. Orang yang pada peringkat mencari pula melihat Allah s.w.t itu ghaib dan jauh, dan jalan untuk mengenal Allah s.w.t adalah dengan cara mengenal ciptaan-Nya. Wujud makhluk menjadi bukti kepadanya tentang Wujud Allah s.w.t, kerana makhluk tidak terjadi dengan sendirinya. Perbincangan Hikmat 8 menyentuh golongan mencari dan golongan yang dicari. Orang yang mencari menempuh jalan yang sukar-sukar sebelum bertemu dengan yang dicarinya. Contoh terbaik orang yang mencari ialah Salman al-Farisi yang mendapat jolokan Pencari Kebenaran. Beliau r.a berasal dari Isfahan. Bapanya seorang kenamaan yang kaya-raya dan kuat berpegang kuat pada agama Majusi. Salman bertugas menjaga api dan bertanggungjawab mempastikan api itu tidak padam. Satu hari beliau lalu berhampiran gereja Nasrani. Beliau tertarik melihat cara orang Nasrani bersembahyang. Setelah bertukar-tukar fikiran dengan mereka dan mempelajari tentang agama Nasrani beliau berpendapat agama Nasrani lebih benar daripada agama Majusi, lalu beliau memeluk agama Nasrani Beliau kemudiannya pergi ke Syria untuk mendalami pengajiannya tentang agama Nasrani. Beliau tinggal dengan seorang pendeta dan beliau menjadi pelayan kepada pendeta tersebut sambil beliau belajar Setelah pendeta itu meninggal dunia Salman pergi ke Mosul, untuk memenuhi kehendak wasiat pendeta tersebut. Di sana beliau tinggal dan berkhidmat kepada seorang pendeta juga. Apabila hampir ajalnya pendeta kedua ini mewasiatkan kepada Salman supaya pergi ke Nasibin dan berkhidmat kepada seorang salih yang tinggal di sana.  Salman kemudiannya berpindah ke Nasibin. Pendeta di Nasibin kemudiannya mewasiatkan kepada Salman agar beliau pergi ke Amuria dan berkhidmat kepada seorang salih di sana. Salman berpindah pula ke Amuria. Ketika pendeta di Amuria itu hampir menemui ajalnya beliau memberi amanat kepada Salman bahawa sudah hampir masanya kebangkitan seorang nabi yang mengikuti agama Nabi Ibrahim a.s secara murni. Nabi yang baharu muncul itu nanti akan berhijrah ke satu tempat yang banyak ditumbuhi pokok kurma dan terletak di antara dua bidang tanah berbatu-batu hitam. Tanda-tanda yang jelas tentang kenabiannya ialah dia tidak mahu makan sedekah tetapi menerima hadiah. Di bahunya ada cap kenabian yang bila dilihatnya segera dikenali akan kenabiannya. Setelah pendeta yang memberi amanat itu meninggal dunia berangkatlah Salman mengikuti rombongan Arab dengan menyerahkan kepada mereka lembu-lembu dan kambing-kambingnya. Sampai di Wadi Qura, Salman dianiayai dan dijual kepada orang Yahudi. Kemudian, Salman dijual kepada orang Yahudi yang lain. Tuannya yang baharu itu membawanya ke Yasrib. Sebaik sahaja Salman melihat negeri itu yakinlah dia bahawa itulah negeri yang diceritakan oleh pendeta yang menjaganya dahulu. Apabila Rasulullah s.a.w berhijrah ke Yasrib, Salman datang menemui baginda s.a.w di Quba dan memberikan makanan sebagai sedekah kepada baginda s.a.w dan sahabat baginda s.a.w. Rasulullah s.a.w menyuruh mereka makan tetapi baginda s.a.w tidak menjamah makanan tersebut. Keesokan harinya Salman datang lagi membawa makanan sebagai hadiah. Rasulullah s.a.w makan bersama-sama sahabat baginda s.a.w. Semasa Rasulullah s.a.w berada di Baqi’, Salman pergi lagi menemui baginda s.a.w. Rasulullah s.a.w ketika itu memakai dua helai kain lebar, satu sebagai sarung dan satu lagi sebagai baju. Salman menjenguk dan mengintai untuk melihat belakang baginda s.a.w. Rasulullah s.a.w mengerti akan maksud Salman lalu baginda s.a.w menyingkap kain burdah dari leher baginda s.a.w hingga kelihatanlah cap kenabian yang dicari oleh Salman. Melihatnya Salman terus menangis dan menciumnya. Akhirnya beliau temui kebenaran yang beliau telah cari di merata-rata tempat.Kisah Salman memberi gambaran betapa sukarnya jalan yang ditempuhi oleh orang yang mencari Allah s.w.t. Di samping mengharungi kehidupan yang sukar mereka juga menuntut ilmu, berguru ke sana ke mari, mencari dalil-dalil dan pembuktian bagi menambahkan pengetahuan tentang Tuhan. Mereka melihat alam dan kejadian di dalam alam sebagai bukti yang menunjukkan Wujud Allah s.w.t, dan mereka mengkaji alam untuk memahami tentang keesaan Allah s.w.t. Setelah mereka sampai kepada Allah s.w.t mereka melepaskan dalil-dalil lalu berpegang kepada makrifat yang diperolehi.Golongan yang dicari menempuh jalan yang berbeza. Contoh orang yang dicari ialah Saidina Umar al-Khattab r.a. Pada awal perkembangan Islam di Makkah umat Islam menghadapi tentangan yang hebat dari puak Quraisy.  Rasulullah s.a.w telah berdoa agar Islam diperkuatkan dengan salah satu Umar, iaitu Umar bin Hisyam (Abu Jahal) atau Umar al-Khattab. Umar al-Khattab ketika itu sangat keras menentang dan menyeksa golongan Islam, terutamanya yang lemah. Rasa bencinya terhadap agama baharu yang merombak adat dan kepercayaan datuk neneknya itu meluap-luap di hatinya. Apabila rasa kebencian itu memuncak beliau mengambil keputusan mahu membunuh Rasulullah s.a.w. Umar mencabut pedangnya sambil menuju ke tempat di mana Rasulullah s.a.w berada. Di tengah jalan Umar diberitahu bahawa adiknya sendiri telah pun memeluk Islam. Dia memikirkan bahawa lebih baik jika dia menguruskan masalah dalamannya dahulu sebelum membunuh Rasulullah s.a.w. Mendengar berita itu dia pun membelok ke rumah adiknya. Keadaannya seperti singa bengis. Ditendangnya pintu rumah adiknya. Pada ketika itu adiknya sedang memegang lembaran yang ditulis dengan ayat al-Quran. Umar memukul adiknya dan merampas lembaran tersebut. Umar adalah seorang cendekiawan yang tahu membaca, dan arif tentang sastera puisi. Sebaik sahaja Umar membaca wahyu Allah s.w.t, tubuhnya menggeletar dan keluarlah ucapan dari mulutnya,” Ini bukan syair yang ditulis oleh penyair yang handal. Ini bukan karya manusia. Tidak ada yang dapat menciptakannya kecuali Tuhan sendiri”. Lalu Umar al-Khattab pergi menghadap Rasulullah s.a.w dan menyatakan keislamannya.Umar al-Khattab membaca ayat al-Quran, Kalam Allah s.w.t dan serta-merta dia melihat kebenarannya. Umar tidak memerlukan kepada alam dan makhluk sekaliannya sebagai dalil dan bukti. Kebenaran itu sendiri menjadi dalil baginya. Kalam Allah s.w.t sendiri yang menyampaikan Umar kepada-Nya. Allah s.w.t yang menerangi hati Umar dengan makrifat-Nya. Makrifatullah yang menerangi makrifat alam sehingga alam itu dikenali melalui sumber iaitu Allah s.w.t sendiri. Orang yang mencari menyusur dari ranting ke dahan, turun ke batang lalu pergi kepada umbi sebelum menemui benih yang melahirkan pokoknya. Orang yang telah dibawa kepada Tuhan melihat dari asal mulanya, melihat benih yang darinya muncul pokok yang cukup lengkap.Perbezaan arah memandang menyebabkan terjadi perbezaan daya nilai dan daya rasa. Orang akal lebih cenderung kepada fahaman falsafah yang berdiri di atas kemanusiaan sejagat iaitu fitrah manusia. Keberkesanan hukum sebab-akibat membentuk formula-formula yang seterusnya melahirkan hukum logik yang dipegang oleh akal. Sukar bagi akal untuk melihat bahawa Allah s.w.t yang meletakkan dan menetapkan keberkesanan hukum sebab-akibat itu. Orang akal memerlukan masa untuk berfikir dan menimbang sehingga mereka melihat dan mengakui kerapian serta kesempurnaan hukum yang mereka pegang itu. Setelah sampai kepada pengakuan yang demikian baharulah mereka beralih memerhatikan apa yang datang dari Tuhan.Orang hati pula terus menyaksikan ketuhanan pada apa yang disaksikan. Mereka melihat perjalanan sebab dan akibat sebagai tadbir Allah s.w.t. Mereka juga mengambil sebab dalam melakukan sesuatu tetapi ketika mengambil sebab itu hati memandang kepada Allah s.w.t, meletakkan pergantungan kepada-Nya yang mentadbir sebab musabab itu, bukan bersandar kepada sebab semata-mata. Jika sebab gagal menghasilkan akibat menurut hukum logik, orang hati melihat kekuasaan Allah s.w.t mengatasi segala sebab. Orang akal yang berhadapan dengan keadaan yang demikian sering diganggu oleh kekeliruan dan mereka mencari formula baharu untuk mengembangkan logik.Walaupun terdapat perbezaan cara memandang tetapi tidak seharusnya berlaku berselisihan di antara dua golongan tersebut. Satu golongan harus menghormati daya nilai dan daya rasa golongan yang satu lagi. Walau bagaimana pun orang akal harus sedar bahawa mereka sedang bergerak ke arah daerah orang hati kerana iman, ikhlas, berserah diri, takwa dan lain-lain nilai baik dalam agama adalah nilai hati yang mengeluarkan niat.

Al-Hikam#36

36: BATINIAH MEMPENGARUHI  LAHIRIAHAPA YANG TERSIMPAN DALAM KEGHAIBAN RAHSIA HATI BERBEKAS NYATA PADA ZAHIRNYA.


Allah s.w.t mengurniakan kepada hati hamba-hamba-Nya yang bahagia dengan Nur Zikir, Nur Kalbu, Nur Akal, Nur Iman dan Nur Makrifat. Kurniaan Allah s.w.t yang demikian itu merupakan rahsia-rahsia yang tidak diketahui oleh makhluk. Setiap hamba yang dibawa ke Hadrat-Nya mempunyai rahsia sendiri dan tidak diketahui oleh hamba-hamba yang lain, walaupun mereka berada pada tingkatan yang sama. Seorang guru pun tidak tahu rahsia muridnya dengan Tuhannya. Apa yang Allah s.w.t kurniakan kepada seorang hamba pilihan-Nya tidak serupa dengan yang dikurniakan kepada hamba pilihan yang lain. Kurniaan Allah s.w.t kepada seorang nabi berbeza daripada kurniaan terhadap nabi-nabi yang lain. Kurniaan Allah s.w.t yang tersimpan dalam keghaiban rahsia hati itu menjadi penggerak kepada pembentukan diri seseorang, hingga dia dapat dikenal dan dibezakan daripada orang lain. Kurniaan Rahsia Allah s.w.t kepada Isa a.s menyebabkan beliau a.s dikenali sebagai Roh Allah. Kurniaan Rahsia Allah s.w.t kepada Musa a.s menyebabkan beliau a.s dikenali sebagai Kalim Allah. Kurniaan Rahsia Allah s.w.t kepada Ibrahim a.s menyebabkan beliau a.s dikenali sebagai Khalil Allah. Kurniaan Rahsia Allah kepada Muhammad s.a.w menyebabkan baginda s.a.w dikenali sebagai Habiballah. Aulia Allah s.w.t juga menerima kurniaan Rahsia Allah s.w.t dan masing-masing memiliki keperibadian yang tersendiriNur Ilahi yang menyinari hati seseorang akan mengubah suasana hati itu dan sekaligus perwatakan dan perawakan orang itu. Perubahan pada perwatakan dapat dilihat pada tingkah-laku dan perbuatan. Sinaran Nur Zikir akan melahirkan seorang yang gemar berzikir, mengingati Allah s.w.t semasa duduk, berdiri, ketika sendirian dan juga ketika berada  dalam perkumpulan. Lidahnya sentiasa basah dengan sebutan nama-nama Allah s.w.t. Sinaran Nur Kalbu akan membuat seseorang berlapang dada, tidak cemas menghadapi ujian dan gemar mendekati Allah s.w.t. Sinaran Nur Akal akan melahirkan sikap suka bertafakur sehingga terbukalah kepadanya Rahsia-rahsia ketuhanan yang menjadi penggerak kepada perjalanan alam maya ini. Muncullah dari lidahnya Kalam Hikmat yang mempesonakan sesiapa sahaja yang mendengarnya. Sinaran Nur Iman mengwujudkan keyakinan yang tidak berbelah bahagi kepada perkara ghaib yang dialaminya sekalipun fikiran tidak dapat menerimanya. Kepercayaan dan keyakinannya tidak bergoncang lantaran mendapat bantahan dan sindiran. Sinaran Nur Makrifat menerangi mata hati untuk mengenal Allah s.w.t, melihat-Nya pada semua kejadian. Tidak kabur pandangan mata hatinya lantaran kekeruhan-kekeruhan yang berlaku di dalam dunia ini. Tidak terbalik pandangan mata hatinya lantaran mendapat kemuliaan dan kekeramatan.Nur Ilahi bukan sahaja mengubah perwatakan tetapi juga mengubah perawakan. Bukan rupa-bentuk muka yang berubah tetapi cahaya pada wajahnya yang berubah, menyebabkan siapa sahaja yang melihatnya akan berasa senang. Misalnya, cahaya Nur Ilahi yang gilang gemilang menyinari wajah Yusuf a.s telah mempesonakan wanita-wanita Mesir sehingga mereka tidak sedar menghiris jari sendiri dan tidak merasai sakitnya akibat terpukau memandang keindahan wajah Yusuf a.s. Begitulah kuatnya kesan sinaran Nur Ilahi yang tersembunyi secara ghaib di dalam hati rohani hamba-hamba Allah s.w.t yang dipilih untuk memperolehinya.Anugerah Allah s.w.t, iaitu nur-nur, kepada hati hamba-hamba-Nya yang beriman menjadi daya dan upaya bagi hati untuk berpegang kuat kepada tauhid, mencintai segala yang bersesuaian dengan Islam dan membencii segala bentuk kekufuran. Daya dan upaya nur yang pada hati ternyata melalui perbuatan dan juga wajah orang berkenaan.Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaliknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaan-Nya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang salih) terdapat pada muka mereka – dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). ( Ayat 29 : Surah al-Fat-h )Tanda nyata pada sifat pengikut-pengikut Nabi Muhammad s.a.w adalah mereka tidak bertolak-ansur pada perkara yang merosakkan akidah. Iman tidak boleh ditukar-ganti dengan harta, pangkat atau kemuliaan. Iman adalah cahaya dan kekufuran pula adalah kegelapan. Cahaya dan gelap tidak boleh bersepakat.Mereka yang sangat keras menentang kekufuran itu sangat berlemah-lembut apabila bersama-sama dengan orang yang beriman. Hubungan hati-hati yang beriman adalah kasih sayang dan kerinduan. Orang yang beriman inginkan kebaikan kepada saudaranya yang beriman. Mereka tidak merosakkan atau menjatuhkan sesama mereka. Kebaikan yang Allah s.w.t kurniakan digunakan untuk meringankan beban saudara-saudaranya yang beriman. Mereka mengutamakan orang yang beriman daripada orang yang tidak nyata imannya atau yang nyata kekufuran dan kemunafikannya. Keselamatan iman adalah apabila ia dipertahankan daripada dicerobohi oleh kekufuran dan kemunafikan. Akal mengenali kekufuran melalui tanda-tanda yang diceritakan oleh ayat-ayat al-Quran. Hati mengenali kekufuran melalui Nur Ilahi yang membuka kekufuran dan kemunafikan itu kepadanya.Nur kurniaan Allah s.w.t yang menjadi daya dan upaya hati seterusnya mempunyai kekuatan untuk mengawal pancaindera orang yang beriman itu. Setiap anggota digunakan untuk berbakti kepada Allah s.w.t, enggan ia berbuat maksiat. Orang yang beriman tekun berbuat ibadat, mencari kurniaan dan keredaan-Nya.Nur yang  dalam Rahsia hati itu juga memancarkan sinarnya sehingga kelihatan pada wajah orang yang berkenaan. Jika perasaan yang bersembunyi dalam hati, seperti marah dan riak, boleh ketara pada wajah, sinaran cahaya nur lebih kuat lagi berbekas pada wajah.Barangsiapa yang jernih dalam batinnya, akan diperbaiki Allah apa yang nyata pada wajahnya. ( Ucapan Umar al-Khattab )Kesucian hati seseorang memancarkan cahaya yang dapat ditangkap oleh cermin hati orang lain yang bersih. Apabila cahaya iman berjumpa dengan cermin hati orang yang beriman akan lahirlah rasa persaudaraan muslim yang sejati. Persaudaraan yang begini tidak ada kepentingan diri dan tidak ada perlumbaan untuk menduduki tempat yang lebih tinggi. Mereka saling bantu membantu dalam melakukan pengabdian kepada Allah s.w.t.Allah s.w.t menentukan bahawa yang tersembunyi dalam hati mengeluarkan tanda pada zahir. Dalam banyak perkara Allah s.w.t menjelaskan tanda-tanda tersebut melalui wahyu-Nya. Tuhan Yang Maha Pemurah berbuat demikian agar orang yang beriman tidak tertipu oleh kemanisan bahasa kemunafikan dan kekufuran. Mempertahankan iman daripada kemunafikan dan kekufuran adalah satu jihad yang besar. Manusia tidak berdaya berbuat demikian tanpa pertolongan Allah s.w.t. Apabila Allah s.w.t memberi pertolongan dengan menunjukkan tanda-tanda sesuatu, ambillah manfaat daripadanya.
  

Rancang situs seperti ini dengan WordPress.com
Mulai