Al-Hikam#125

125 : ABID DAN ZAHID YANG BELUM MENCAPAI KETEGUHAN HATI 

SESUNGGUHNYA YANG MEMBOLAK-BALIKKAN HATI AHLI IBADAT DAN AHLI ZUHUD KETIKA MENGHADAPI SESUATU ITU ADALAH KERANA MEREKA MASIH TIDAK TETAP MELIHAT ALLAH S.W.T PADA APA YANG MEREKA LIHAT, MAKA HATI MEREKA DIBOLAK-BALIKKAN OLEH SESUATU ITU.

Istilah yang biasa digunakan bagi menggambarkan sifat hati ialah istilah kalbu, yang bermaksud sesuatu yang berbalik-balik, berubah-ubah, tidak menetap. Seseorang yang menjalani jalan kerohanian akan memasuki daerah Latifah Kalbu. Dalam daerah ini dia menjadi terlalu sensitif dengan apa yang berlaku di sekelilingnya. Dia melihat keadaan orang ramai yang leka menurut kehendak hawa nafsu mereka. Dia melihat keadaan dunia yang kucar kacir. Dia melihat kerosakan yang berlaku akibat harta, perempuan, kekuasaan dan lain-lain. Dia melihat kesemua ini sebagai racun yang boleh melemahkan rohaninya. Oleh yang demikian dia memilih jalan yang memisahkannya daripada segala kekacauan tersebut. Dia mungkin memilih jalan ahli ibadat yang mendekatkan diri dengan Allah s.w.t dengan cara membenamkan dirinya ke dalam alam amal ibadat. Dia hanya berurusan dengan orang lain kerana sesuatu keperluan yang menyokong pekerjaan ibadatnya. Dia hanya mengambil bahagian dalam hal-ehwal dunia sekadar menguatkan tulang belakangnya untuk berdiri berbuat ibadat. Kebanyakan daripada masanya dihabiskan dengan memencilkan diri dan beribadat kepada Allah s.w.t. Jalan kedua yang mungkin diikuti oleh orang yang memasuki Latifah Kalbu itu adalah jalan ahli zuhud. Dia menjadi zahid yang membuang dunia dan segala isinya dari hatinya. Dia gemar tinggal sendirian di tempat yang tidak didiami oleh manusia lain. Dia mengambil langkah tidak beristeri, tidak berkeluarga dan tidak bermasyarakat. Dia hanya bertemankan Allah s.w.t di dalam khalwatnya.

Kecenderungan mengikut cara ahli ibadat dan ahli zuhud dialami oleh orang yang telah tumbuh rasa jemu kepada dunia dan kekeruhan yang berlaku di dalamnya. Cara demikian adalah baik baginya untuk memerangi hawa nafsu. Pergaulan dengan orang ramai menjadi sebab yang membolak-balikkan hatinya. Pengasingan diri dari kesibukan dunia dan membenamkan diri ke dalam kesibukan ibadat mempercepatkan proses penyucian hati. Suasana pengasingan itu penting baginya kerana dia masih dikuasai oleh kesedaran basyariah. Dia masih melihat makhluk sebagai memiliki pengaruh yang mendatangkan kesan atau akibat. Pandangan hatinya masih melekat kepada sebab-sebab, kerana itulah alat-alat yang menyampaikan sebab-sebab boleh mengganggu hatinya. Setelah makrifatnya bertambah, pandangan hatinya akan berubah. Dia tidak lagi melihat makhluk sebagai berkuasa mendatangkan kesan dan akibat. Dia melihat kekuasaan dan pentadbiran Ilahi yang berjalan sebagai sebab musabab. Sesuatu yang datang kepadanya tidak lagi menutup hakikat dari pandangan hatinya. Bila hatinya sudah mencapai peringkat ini hatinya tidak lagi dibolak-balikkan oleh sesuatu perkara atau kejadian. Pergaulan dengan orang ramai tidak lagi menjadi racun kepada hatinya.

Al-Hikam#124

124: SIKAP ORANG LALAI DAN ORANG BERAKAL

ORANG LALAI (DARI PEGANGAN TAUHID), TATKALA DATANG WAKTU PAGI DIA MEMIKIRKAN APA YANG HARUS DIKERJAKANNYA. ORANG YANG BERAKAL (BERTAUHID) MENERIMA PEKERJAAN YANG DITAKDIRKAN ALLAH S.W.T UNTUKNYA.

Manusia berada dalam salah satu dari dua keadaan. Jika kuat satu keadaan lemahlah keadaan yang satu lagi. Dua keadaan itu adalah pertama perhatian kepada dirinya sendiri dan kedua adalah perhatian kepada Tuhannya. Jika dia asyik kepada dirinya lalailah dia kepada Tuhannya. Jika dia asyik kepada Tuhannya lalailah dia kepada dirinya. Orang yang lemah tauhidnya akan asyik kepada dirinya dan menjadi lalai daripada mengingati Tuhannya. Orang ini mungkin kuat mengerjakan amal ibadat dan berbuat kebaikan kepada sesama makhluk. Tetapi, keasyikan kepada diri sendiri membuatnya melihat amal dan perbuatan sebagai hasil yang keluar dari dirinya kerana dirinya dan kembali kepada dirinya. Jika dia melihat Tuhan maka dilihatnya Tuhan memberinya kebebasan untuk melakukan apa yang dia kehendaki. Dirasakan seolah-olah Tuhan tidak mengganggu pekerjaannya. Dia berpegang kepada kenyataan bahawa Tuhan tidak mengubah nasib sesuatu kaum sebelum kaum itu mengubah nasibnya. Oleh itu, nasib dirinya terletak dalam tangannya sendiri. Dan, Tuhan memberinya nasib menurut usaha yang disumbangkannya. Bagi menjamin dia mendapat nasib yang baik maka dia membuat perancangan yang rapi dan mengambil tindakan yang berkesan. Dia memulakan harinya dengan menyusun jadual yang wajib ditaatinya untuk hari itu. Untung malang nasibnya bergantung kepada kemampuannya untuk merialisasikan apa yang dirancangkannya.

Manusia yang berpegang kepada prinsip demikian adalah benar menurut aspek dirinya tetapi adalah orang yang lalai menurut aspek ketuhanan yang menguasai dirinya. Pengagungan kekuatan diri sendiri akan memperkecilkan kekuatan Maharaja yang memerintah sekalian alam maya ini. Prinsip yang demikian menambahkan ego dirinya dan menjauhkannya dari merendahkan diri kepada Tuhannya, walaupun banyak ibadat dan perbuatan baik yang dikerjakannya. Amal yang banyak menyebabkannya menjadi ujub, riak dan sama’ah. Amal yang demikian tatkala dibawa ke neraca hisab di akhirat kelak ia akan berterbangan seperti debu. Ia tidak dapat menolong tuannya kerana orang itu menjadikan dirinya sebagai tapak untuk meletakkan amalnya. Di Padang Mahsyar dirinya sendiri tidak berdaya berdiri di hadapan Hakim Yang Maha Perkasa. Bila dia rebah, rebah jugalah amalnya.

Sekiranya kita mahu amal dapat berdiri tegak binalah ia di atas tapak tauhid. Pandangan tauhid melihat apa yang dari Allah s.w.t, berdiri dengan Allah s.w.t dan kembali kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t yang memiliki dan menguasai sekalian alam serta isi dan kejadian yang berlaku di dalamnya. Tidak bergerak walau sebesar zarah melainkan dengan izin-Nya. Tidak terjadi sesuatu perkara melainkan dengan Kudrat dan Iradat-Nya. Allah s.w.t telah menentukan Qadak sebelum Dia menzahirkan Qadar. Setiap yang berlaku adalah menurut ketentuan-Nya. Orang yang berpegang pada prinsip ini menyambut kedatangan pagi dengan persiapan untuk menerima ketibaan takdir Ilahi. Dia tahu bahawa apa yang Allah s.w.t takdirkan untuknya hari itu pasti sampai kepadanya. Tidak ada sesiapa yang boleh mengubahnya. Bergeraklah dia dengan sepenuh tenaga mendukung takdir yang diamanatkan kepadanya. Jangan menganggap orang yang bepegang kepada prinsip tauhid sebagai orang yang pasif, hanya berpeluk tubuh. Dia tetap aktif dengan berbagai-bagai aktiviti, melebihi orang yang berpegang kepada prinsip yang pertama. Perbezaan antara keduanya adalah daya rasa dan daya nilai. Pekerjaan dan perbuatan adalah serupa. Orang yang pertama merasakan dialah yang melahirkan amal. Dia melihat dirinya yang melakukan amal. Orang kedua melihat dirinya adalah alat, dan Allah s.w.t adalah Pelaku yang menggunakan alat. Dia melihat dirinya dipilih oleh Allah s.w.t bagi menzahirkan sesuatu perbuatan. Oleh sebab perbuatan yang ditakdirkan untuknya itu menjadi amanat Allah s.w.t kepadanya maka dia melakukannya sebaik mungkin menurut kadar kemampuan yang Allah s.w.t kurniakan kepadanya dan dia mengharapkan perbuatan yang lahir dari dirinya itu diredai Allah s.w.t. Orang seperti ini tidak panik menerima kedatangan peristiwa besar secara mendadak kerana dia melihat bahawa peristiwa tersebut adalah takdir Allah s.w.t yang sedang berjalan dan dia berada di tengah jalan laluan takdir itu, lalu dia menerimanya dengan senang hati. Dia yakin bahawa Allah s.w.t yang mendatangkan takdir dalam bentuk peristiwa maka Dia juga yang melahirkan kesan dari peristiwa berkenaan.

Apabila seseorang itu berfungsi  mengikut urutan takdir dia dapat menerima akibat daripada takdir itu walaupun akibat itu tidak menguntungkannya. Jika akibat yang baik sampai kepadanya dia yakin bahawa Allah s.w.t akan memeliharanya agar tidak terjadi sia-sia kebaikan yang diterimanya dan dia bersyukur. Jika akibat buruk yang sampai kepadanya dia yakin bahawa Allah s.w.t akan menguatkannya dengan kesabaran dan keredaan. Hati yang benar-benar bertauhid tidak dapat diganggu gugat oleh apa-apa pun.

Al-Hikam#123

123: WARID DAN NUR ILLAHI

KURNIAAN ALLAH S.W.T BERSESUAIAN DENGAN PERSIAPAN UNTUK MENERIMANYA TETAPI PANCARAN NUR ILAHI BERSESUAIAN DENGAN SIFAT RAHSIA HATI (SIR).

Wirid berfungsi mempersiapkan seseorang agar berada dalam keadaan sesuai dan mampu menerima dan menanggung kedatangan kurniaan Allah s.w.t. Kadang-kadang kurniaan Allah s.w.t datang kepada seseorang hamba tetapi kurniaan itu tidak menetap, kerana orang itu tidak mampu menanggungnya. Diri seseorang adalah umpama bekas yang boleh diisi dengan apa yang boleh diterimanya. Oleh yang demikian seseorang itu haruslah melengkapkan dan memperkuatkan dirinya supaya sesuatu kurniaan Allah s.w.t yang datang kepadanya tidak mengalir keluar atau dia tidak berdaya menanggungnya. Kurniaan Allah s.w.t yang berupa kebaikan tidak semestinya boleh ditanggung oleh semua orang.

Perkara yang sama juga boleh berlaku kepada kurniaan duniawi. Ada orang yang menemui kebinasaan kerana mereka menerima kekayaan dan kekuasaan ketika mereka tidak bersedia menerimanya. Dalam bidang kerohanian pula ada orang yang hilang kewarasannya apabila dibukakan tabir ghaib. Mereka tidak mampu bertahan menerima gangguan makhluk halus. Jalan yang selamat bagi seseorang adalah mempersiapkan dirinya agar dia selamat daripada tarikan tipu daya dalam alam rohani yang dia tidak mengerti.  Amal ibadat atau wirid hendaklah dilakukan semata-mata kerana Allah s.w.t. Jangan dicari kekeramatan dan khadam. Orang yang menyelitkan hajat kepada sesuatu selain Allah s.w.t, mudah terjerumus ke dalam kebinasaan. Apa sahaja yang dihajati mempunyai tarikan kepada hati. Semakin besar hajat semakin kuat tarikannya. Hajat itu menjadi hijab menutup hati. Ini membuatnya tidak mengenali makhluk rohani yang datang kepadanya dengan rupa yang elok-elok. Jika kedatangan makhluk rohani tersebut berbetulan ketika dia mendapat sesuatu kelebihan, maka akan timbullah pergantungannya kepada makhluk rohani tersebut. Bertambahlah kesukarannya untuk mendapatkan tauhid yang sejati.

Seseorang yang mahu sampai kepada Allah s.w.t disyaratkan melalui jalan yang menghancur leburkan hawa nafsu, kehendak dan tujuan kepada segala-galanya selain Allah s.w.t. Hanya Allah s.w.t maksud dan tujuan. Hanya keredaan-Nya yang dicari. Jalan ini penuh dengan perjuangan atau mujahadah, memutuskan rantai-rantai duniawi dan nafsu, menyingkap tabir asbab, mengenderai tajrid, berserah bulat kepada Allah s.w.t dengan membuang ikhtiar memilih dan reda dengan apa sahaja lakuan Allah s.w.t kepada dirinya.

Diri atau an-nafs mesti disuci-bersihkan agar ia terlepas daripada pengaruh ‘adam dan masuk ke dalam suasana Sir (rahsia hati) Bertambah murni an-nafs bertambah menyerlah sirnya. Sir menerima pancaran Nur Ilahi. Sir yang menerima pancaran Nur Ilahi akan menerangi an-nafs (nafsu natiqah) dan seterusnya menerangi kalbu (hati). Terang atau malap sinaran Nur Ilahi yang diterima oleh hati bergantung kepada sifat Sir atau Rahsia hatinya. Sir yang kuat akan memancarkan cahaya yang kuat dan hati menjadi sangat terang. Apabila hati menjadi terang benderang oleh sinaran Nur Ilahi, ia tidak dapat lagi diperdayakan. Cahaya Nur Ilahi melahirkan apa yang asli. Rupa, bentuk dan warna tidak dapat menyembunyikan keaslian sesuatu. Hati akan mengenali syaitan walaupun ia datang dalam rupa yang cantik. Hati akan mengenali malaikat walaupun ia datang tanpa rupa. Pengenalan sebenar hanya diperolehi dengan bantuan Nur Ilahi. Tanpa Nur Ilahi tidak mungkin mencapai makrifat.
Nur Ilahi tidak menyampaikan cahayanya jika Sir dibungkus oleh kekotoran nafsu. Nafsu hendaklah dimurnikan agar ia kembali kepada keasliannya yang dipanggil nafsu muthmainnah, baharulah diperolehi ketenteraman yang sejati bila nur makrifat menyelimutinya. Insan yang sampai kepada peringkat ini berjalan dengan petunjuk dan tarikan Nur Ilahi. Dia tidak lagi bersandar kepada amalnya, ilmunya, malaikat dan makhluk rohani. Sinaran kesucian Sir yang membimbingnya, dan menjadikannya insan berpangkat hamba Tuhan.

Al-Hikam#122

122: PEMELIHARA WIRID SELAMA ADA HAYAT

TIDAK MENGABAIKAN WIRID KECUALI ORANG BODOH. WARID (KURNIAAN ALLAH S.W.T) BERTERUSAN HINGGA KE AKHIRAT DAN WIRID BERAKHIR DENGAN BERAKHIRNYA DUNIA. DAN YANG PALING BAIK DIPERHATIKAN IALAH YANG TIDAK LENYAP. WIRID ITU SEBAGAI TUNTUTAN ALLAH S.W.T KEPADA KAMU SEMENTARA WARID ITU ADALAH HAJAT KAMU KEPADA ALLAH S.W.T. MAKA DI MANAKAH BANDINGAN ANTARA TUNTUTAN ALLAH KEPADA KAMU DENGAN PENGHARAPAN KAMU KEPADA TUHAN KAMU.

Wirid atau aurad adalah amal ibadat yang dilakukan secara tetap terus menerus dari hari ke hari. Ibadat yang wajib menjadi wirid yang dipertanggungjawabkan kepada semua orang Islam. Sembahyang lima waktu sehari semalam adalah wirid yang paling ringkas dan wajib diamalkan. Bila iman seseorang bertambah maka bertambah juga wiridnya. Sembahyang sunat, puasa sunat, membaca al-Quran dan berzikir ditambahkan kepada wirid yang wajib. Apabila seseorang mencapai peringkat iman yang sempurna keseluruhan kehidupannya selama dua puluh empat jam sehari semalam merupakan wirid. Wirid dalam aspek ini adalah Sunah Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w telah menunjukkan cara menjalani tempuh dua puluh empat jam itu, bermula dari membuka mata bila jaga dari tidur, baginda s.a.w telah membentuk satu format kehidupan yang merangkumi segala jenis aktiviti. Format itulah yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w dari hari ke hari sehinggalah Rasulullah s.a.w wafat. Diketahui dengan jelas oleh umat baginda s.a.w apakah doa yang baginda s.a.w baca pada sesuatu aktiviti, apakah sembahyang sunat yang baginda s.a.w kerjakan setiap hari, apakah zikir yang baginda s.a.w sering ucapkan dan amalan-amalan lain yang dipelopori oleh baginda s.a.w. Amalan tersebut adalah wirid yang paling sempurna.

Jarang sekali orang dapat mendekati wirid yang paling sempurna. Sebahagian besarnya mengambil wirid yang khusus untuk diamalkan bagi satu jangka masa yang tertentu. Bila mereka merasakan telah mencapai tahap yang boleh dibawa oleh wirid berkenaan, mereka pun tidak berwirid lagi. Biasanya perkara ini terjadi kepada orang yang mengadakan sukatan atau had bagi sesuatu amal itu. Ditentukan puasa sunat selama empat puluh hari berturut-turut dan membaca sesuatu jenis zikir sekian ribu kali. Bila had telah dicapai mereka merasakan kedudukan yang menjadi tujuan juga tercapai. Oleh itu mereka tidak perlu menyambung wirid yang telah diamalkan. Beginilah cara orang jahil beramal. Mereka tidak memahami bahawa wirid bukanlah jaminan untuk mendapatkan kedudukan. Tujuan wirid adalah untuk memperteguhkan ubudiyah (kehambaan). ‘Adam yang telah menerima nikmat penciptaan dan diperakukan sebagai satu kewujudan individu sebagai hamba Tuhan, berkewajipan memperhambakan diri kepada Pencipta, Tuhan sekalian alam. Wirid adalah kenyataan kepada kehambaan tersebut. Selama seseorang itu masih berada di dunia ini dia diwajibkan melakukan kewajipan sebagai hamba. Semakin hampir seseorang dengan Allah s.w.t semakin berat tanggungjawab, amanat dan sopan santun yang harus ditunaikan. Peningkatan makam mestilah sejalan dengan peningkatan ubudiyah, bukan sebaliknya. Apabila seseorang hamba itu meningkat darjatnya, bertambah teguhlah dia berpegang kepada wirid. Orang yang melepaskan wirid adalah orang yang semakin jauh daripada Allah s.w.t namun, disangkanya semakin dekat.

Allah s.w.t tidak putus-putus memberikan kurnia-Nya kepada hamba-hamba-Nya. Ada kurniaan lahiriah dan ada yang batiniah. Ada sejenis kurniaan batiniah yang dikurniakan kepada segolongan daripada hamba-hamba-Nya. Ia adalah kurniaan yang menghubungkan hamba dengan Tuhan, kurniaan pengalaman hakikat yang menyampaikan kepada makrifatullah. Kurniaan seperti ini dinamakan warid. Nur Ilahi menerangi hati para hamba-Nya dan membakar penjara ‘adam yang memerangkap keaslian rohani. Ikatan dan kongkongan alam benda terhapus maka bebaslah diri yang asli kembali kepada asalnya dan masuk ke Hadrat-Nya, kemudian memperolehi baqa bersama-Nya. Dalam kebaqaan wiridnya ialah Sunah Rasulullah s.a.w. Pergantungan hati kepada Allah s.w.t menjadi tarekatnya. Menyaksikan ketuhanan yang menguasai sekalian yang maujud menjadi suasana hatinya dan suasana begini dinamakan hati berhakikat. Hasil yang diperolehinya dinamakan makrifat. Apabila dia mengalami kematian putuslah syariat darinya, tiada lagi wirid yang perlu diamalkannya. Tetapi, kurniaan Allah s.w.t (warid) tidak putus. Nur Ilahi menerangi alam kuburnya. Nur Ilahi memimpinnya menuju panji Rasulullah s.a.w di Padang Mahsyar. Nur Ilahi menyelamatkannya ketika hisab. Nur Ilahi menetapkan kakinya ketika melintasi Siratalmustaqim. Nur Ilahi menunjukkan jalan ke syurga. Nur Ilahi memasukkannya ke dalam syurga. Nur Ilahi menemaninya di dalam syurga. Badan ahli syurga yang diselimuti oleh Nur Ilahi sangat bercahaya, sehingga jin tidak dapat melihat mereka di akhirat sebagaimana manusia tidak dapat melihat jin di dunia. Kekuatan cahaya Nur Ilahi yang beserta ahli syurga boleh memadamkan api neraka. Kekuatan Nur Ilahi yang tidak terbatas itulah yang memberi kemampuan kepada mereka untuk melihat Wajah Allah s.w.t tanpa hijab. Inilah kemuncak segala warid!

Al-Hikam#121

121: KEKERAMATAN BUKAN JAMINAN KESEMPURNAAN

TIDAK SEMUA YANG TERZAHIR KEKERAMATANNYA ITU SEMPURNA PANGKAT KEWALIANNYA.

Orang yang kerohaniannya belum cukup mantap suka meninjau keadaan dirinya sendiri untuk melihat kalau-kalau terdapat tanda-tanda kekeramatan padanya. Kekeramatan yang dimaksudkan adalah kebolehan luar biasa yang tidak dapat dilakukan oleh orang ramai, misalnya berjalan di atas air, tidak basah ditimpa hujan, dalam sekelip mata boleh berada di Makkah, doa cepat makbul dan lain-lain. Jika dia melihat tanda-tanda yang seumpama itu ada pada dirinya dia merasakan telah berjaya dalam perjuangannya.

Orang yang beranggapan begini kurang mengerti tujuan perkara luar biasa yang berlaku ke atas dirinya. Perkara seperti itu bukanlah peristiharan bahawa dia sudah cukup bersih dan sudah menjadi wali yang agung. Perkara seperti ini adalah alat untuknya mengenal kekuasaan Allah s.w.t yang tidak terikat pada hukum sebab akibat, tidak dikongkong oleh ikhtiar makhluk. Kekeramatan adalah pengenalan kepada sifat Berdiri Dengan Sendiri, Berkehendak dan Berkuasa melakukan apa sahaja tanpa ditekan oleh sesiapa dan tanpa disebabkan oleh sesuatu sebab. Allah s.w.t tidak ditakluki oleh sempadan sebab musabab. Sebab musabab mengongkong kekuasaan dan kekuatan makhluk tetapi tidak memberi bekas kepada kekuasaan dan kekuatan Allah s.w.t. Sebab musabab menjadi dinding yang tebal menghalang manusia dari melihat kepada kekuasaan dan keagungan Allah s.w.t. Jika seseorang ingin menghampiri Allah s.w.t dinding tersebut perlu dirobohkan. Dia tidak boleh bersandar kepada sebab musabab untuk mengeluarkan akibat. Sebab dan akibat tidak terjadi dengan sendirinya. Kudrat dan Iradat Allah s.w.t yang melahirkan sebab dan akibat juga.

Sebab-sebab adalah utusan yang membawa perintah Allah s.w.t. Sungguh tidak wajar kiranya dalam menerima perintah perhatian hanya ditujukan kepada utusan tidak kepada Empunya perintah. Bagi menyedarkan hamba-hamba tentang keperkasaan Yang Empunya perintah, kadang-kadang dicabut kesan daripada sebab. Kesan membakar dicabut dari api apabila Nabi Ibrahim a.s memasukinya. Proses pembiakan dikejutkan apabila Nabi Isa a.s dilahirkan tanpa percampuran ibu dan bapa. Hukum alam semula jadi dirombak apabila Nabi Musa a.s membelah laut dengan tongkat beliau a.s dan Nabi Muhammad s.a.w mengeluarkan air dari jari-jari baginda s.a.w. Kejadian-kejadian yang seperti disebutkan itu menjadi ledakan yang kuat meruntuhkan benteng sebab-akibat agar para hamba dapat melihat dengan jelas akan Kudrat dan Iradat Allah s.w.t yang menguasai dan mengatur segala-galanya. Demikian juga peranan kekeramatan yang berlaku kepada orang-orang tertentu. Kekeramatan merupakan pendidikan kerohanian dalam mengenal Allah s.w.t agar hati meyakini sungguh-sungguh kepada Allah s.w.t sebagai Rab (Tuhan) sekalian alam. Orang yang padanya terzahir kekeramatan akan melihat dengan jelas akan ketuhanan Allah s.w.t yang menguasai sekalian alam dan dia dapat menghayati maksud:

Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah s.w.t.

Tidak ada daya dan upaya melainkan apa yang didayakan dan diupayakan oleh Allah s.w.t. Kekeramatan menjadi pasak yang meneguhkan bangunan iman. Dia tidak lagi ragu-ragu terhadap jaminan Allah s.w.t.

Kekeramatan yang mengangkat darjat seseorang boleh menjadi ujian yang menghalang perkembangan kerohanian orang lain. Orang yang terpesona melihat kekeramatan yang terzahir dari dirinya merasakan dirinya sudah berada pada kedudukan yang tinggi lagi mulia. Kekeramatan menambahkan rasa taasub kepada diri sendiri dan memperbesarkan keegoan dirinya. Ini menyebabkan proses penyucian hatinya terbantut. Kegagalannya melihat rahsia Kudrat dan Iradat Allah s.w.t menebalkan hijab dirinya dengan Allah s.w.t dan tidak bertambah kekuatan tauhidnya.

Orang yang dirinya benar-benar suci bersih dapat menyelamatkan dirinya dari fitnah kekeramatan. Kekeramatan boleh terjadi pada dirinya  tetapi tidak mengalihkan pandangan mata hatinya daripada Allah s.w.t. Kekeramatan membuka pintu ghaib kepadanya untuk melihat rahsia kekuasaan Tuhan pada penciptaan dan aturan-Nya. Apa sahaja yang diciptakan Allah s.w.t dan ditadbir-Nya adalah luar biasa dan merupakan kekeramatan.

Arasy adalah luar biasa dan semut juga luar biasa. Bintang dilangit adalah luar biasa dan kelip-kelip juga luar biasa. ‘Adam (yang tidak ada) tiba-tiba menjadi ada, sungguh luar biasa sekali kekuasaan Allah s.w.t. Seluruh alam maya ini adalah luahan kekeramatan yang luar biasa yang hanya Allah s.w.t sahaja  yang mampu berbuat demikian. Dia adalah Allah s.w.t, yang tidak ada Tuhan kecuali Dia!

Al-Hikam#120

120: ZAHIR BERSYARIAT DAN BATIN BERIMAN

APABILA KAMU PADA ZAHIRNYA DIHIASKAN DENGAN TAAT KEPADA PERINTAH-NYA DAN DIKURNIAKAN PADA BATIN KAMU MENYERAH BULAT KEPADA ALLAH S.W.T, YANG DEMIKIAN ADALAH SEBESAR-BESAR NIKMAT BUAT KAMU.

Hamba Allah yang sejati adalah yang menggunakan segala daya dan upayanya untuk mentaati Allah s.w.t, menurut segala perintah-Nya tanpa hujah, tanpa tangguh, tanpa ragu-ragu dan pada masa yang sama hatinya yakin sungguh-sungguh kepada ketuhanan Allah s.w.t yang memelihara, menjaga, melindungi, menguruskan segala sesuatu dengan cara yang paling baik. Mentaati perintah Allah s.w.t dengan memelihara sempadan syariat dinamakan takwa, dan keyakinan hati terhadap ketuhanan Allah s.w.t yang memelihara serta mengatur, dinamakan iman. Gandingan iman dan takwa melahirkan sifat ubudiyah yang sejati. Beriman tanpa bertakwa atau beramal adalah kejahilan. Beramal tanpa beriman adalah munafik. Iman dan takwa merupakan dua belah sayap yang saling bantu membantu agar insan dapat terbang menuju Tuhan. Jika hanya satu sayap sahaja yang ada seseorang itu hanya berpusing-pusing di bumi. Walaupun jauh  jarak yang telah dipusingnya namun, dia tetap berada di bumi, tidak terbang ke alam tinggi.

Seseorang yang menggabungkan iman dan takwa adalah orang yang bersesuaian zahirnya dengan batinnya atau harmoni kedudukan syariat dan hakikatnya. Amalan zahirnya sesuai dengan tuntutan syarak dan batinnya menghadap kepada Allah s.w.t. Orang yang bersesuaian iman dan takwanya, zahir dan batinnya, syariat dan hakikatnya, jasmani dan rohaninya, sebenarnya mendapat sebesar-besar nikmat daripada Allah s.w.t. Dia terlepas daripada sifat munafik. Dia berada pada tarekat  (jalan) yang benar.

Apabila seseorang menganut agama Islam dia dinamakan muslim. Muslim menerima syariat Islam sebagai cara hidupnya. Dia memahami dan mengakui akan kebaikan dan kebenaran peraturan yang ditetapkan oleh syariat Islam. Kemudian dia beriman dengan sesungguhnya kepada Allah s.w.t. Kedudukannya naik daripada muslim kepada Mukmin. Mukmin mempunyai keyakinan yang teguh terhadap Allah s.w.t dan dia tidak ragu-ragu untuk menyerahkan seluruh kehidupannya kepada Tuhan. Dia yakin Allah s.w.t sahaja yang mengatur kehidupannya. Orang Mukmin mematuhi syariat bukan kerana kebaikan dan kebenaran syariat itu semata-mata, tetapi adalah kerana Allah s.w.t. Dia melihat syariat sebagai peraturan Allah s.w.t dan sebagai hamba dia wajib akur kepada peraturan tersebut. Ketaatan kepada syariat yang didorong oleh iman yang teguh membentuk sifat takwa. Orang yang bertakwa naik dari tahap Mukmin kepada tahap muttaqin. Makam muttaqin adalah makam keteguhan beramal dengan syariat Islam dan ketetapan hati bersandar kepada Allah s.w.t. Keteguhan dan ketetapan hati dalam makam muttaqin menjadi tangga untuk mencapai makam muqarrabin iaitu orang yang hampir dengan Allah s.w.t. Orang yang paling hampir dengan Tuhan adalah orang yang paling bertakwa iaitu orang yang paling teguh kedudukannya pada makam muttaqin. Makam muttaqin bukan sahaja menjadi tangga untuk mencapai makam muqarrabin bahkan ia juga menjadi tapak untuk naik kepada makam ariffin. Sepanjang perjalanan dari makam Muslim kepada makam ariffin, iman dan  amal menjadi kenderaan. Perpindahan dari satu makam kepada makam yang lain memperlihatkan keteguhan dan ketetapan amal dan iman.

Sekiranya Allah s.w.t berkehendak mengurniakan kepada hamba-Nya kedudukan yang baik pada sisi-Nya maka hamba tersebut dikurniakan keteguhan dalam melakukan ketaatan kepada-Nya dan diperkuatkan imannya. Hamba yang memperolehi kurniaan begini menjadi hamba yang gemar beribadat, beramal salih dan kuat pula bertawakal kepada Allah s.w.t. Inilah hamba Allah s.w.t yang berjaya. 

Al-Hikam#119

119: PERHATIKAN KEWAJIBAN BUKAN PERMINTAAN

JANGAN MENGADAKAN TUNTUTAN TERHADAP TUHAN KAMU LANTARAN KELEWATAN TERCAPAINYA HAJAT KAMU, TETAPI TUNTUTLAH DIRI KAMU AGAR TIDAK MELEWATKAN KEWAJIPAN (TERHADAP ALLAH S.W.T).

Sikap bertauhid hendaklah sentiasa dipupuk supaya syirik dapat dikikis hingga kepada yang paling halus. Salah satu pintu yang mudah dimasuki oleh anasir syirik adalah hajat dan keinginan diri sendiri baik dari segi duniawi, ukhrawi ataupun kedudukan kerohanian. Ahli dunia berhajatkan kesenangan duniawi. Ahli akhirat berhajatkan kesenangan dan keselamatan syurgawi. Ahli kerohanian berhajatkan peningkatan makam. Masing-masing itu masih lagi mempunyai sesuatu hajat yang selain Allah s.w.t. Apa sahaja yang selain Allah s.w.t mestilah dileburkan  agar tidak ada yang bertempat di dalam hati selain Allah s.w.t. Hati hanyalah untuk Allah s.w.t.

Kalbu (hati) orang Mukmin adalah istana Allah s.w.t. ( Maksud Hadis )

Amat tidak wajar membenarkan sesuatu selain Allah s.w.t mendiami Istana  Allah s.w.t. Jika sesuatu dimasukkan ke dalam istana Allah s.w.t bermakna sesuatu itu didudukkan pada taraf yang menyaingi Allah s.w.t. Ini adalah perbuatan yang sangat tidak beradab kepada Allah s.w.t, menyalahi sifat ubudiyah (kehambaan) yang diwajibkan kepada sekalian makhluk. Setiap hamba Allah s.w.t diwajibkan memperhatikan ketuhanan Allah s.w.t dan menjaga adab hamba kepada Tuhan, iaitu taat kepada perintah-Nya, hukum-Nya dan ketentuan-Nya. Allah s.w.t adalah Tuhan Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang dan Maha Mengerti. Dia sangat mengerti menguruskan hamba-Nya lebih daripada hamba itu menguruskan dirinya sendiri. Dia yang menciptakan makhluk dan keperluan makhluk dan Dia juga yang mengadakan pembahagian. Hanya Dia yang benar-benar memahami apa yang perlu bagi setiap makhluk tanpa perlu Dia diperingatkan, apa lagi dikenakan tuntutan. Tidak ada satu makhluk pun yang berhak mempersoalkan apa yang Tuhan buat tetapi setiap makhluk diwajibkan menjawab soalan Tuhan. Hamba yang mengerti tarafnya sebagai hamba akan memelihara kewajipan kehambaan tanpa membuat sebarang tuntutan, sebaliknya mengawasi dirinya agar sentiasa menjaga adab dan peraturan kehambaan yang dikenakan kepadanya.

Keresahan yang timbul dalam jiwa lantaran tidak mendapat apa yang dihajati adalah kerana hati telah menggunakan daya nilai yang tidak benar. Allah s.w.t telah menetapkan satu piawaian. Segala penilaian mestilah ditundukkan kepada piawaian Allah s.w.t. Jika hati memilih piawaian akal dan piawaian nafsu hati itu tidak dapat lari daripada keraguan yang mendatangkan keresahan. Nafsu dan akal mesti ditundukkan agar menyesuaikan diri dengan piawaian Allah s.w.t. Segala hajat dan keinginan mestilah menurut kehendak Allah s.w.t. Segala hujah dan pembuktian mestilah menyokong peraturan Allah s.w.t. Apabila nafsu dan akal sudah tunduk kepada kehendak dan peraturan Allah s.w.t baharulah mata hati berupaya menyaksikan dengan pandangan hikmah.

Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu. (Ayat 30 : Surah asy-Syura )

Pandangan hikmah memperlihatkan bahawa apa juga kerugian yang menimpa manusia adalah kerana kesalahan yang dilakukannya sendiri. Jika doanya tidak dimakbulkan atau lambat dimakbulkan, ia adalah kerana kesalahan yang telah dilakukannya menghalang doa itu naik ke Hadrat Allah s.w.t. Jika bala menimpanya ia adalah kerana dosa yang telah dilakukannya. Jika hajat atau keinginan yang sukar diperolehi mendatanginya, ia adalah kerana hatinya dibungkus oleh kegelapan nafsu. Jika akalnya gagal merenungi keagungan dan kebesaran Allah s.w.t ia adalah kerana perhatiannya hanya menjurus kepada soal kebendaan dan perkara-perkara zahir.

Perlulah diperhatikan keadaan diri sendiri. Memperbaiki diri adalah lebih baik daripada merungut kerana tidak mendapat apa yang diingini. Bila diri, hati, nafsu dan akal sudah bersesuaian dengan peraturan dan kehendak Allah s.w.t segala perkara akan menjadi mudah.

Al-Hikam#118

118: SIFAT KEWALIAN DITUTUP DARIPADA PANDANGAN UMUM

MAHA SUCI ALLAH YANG MENUTUPI RAHSIA KEISTIMEWAAN (PARA WALI) DENGAN DIPERLIHATKAN SIFAT KEMANUSIAAN BIASA KEPADA ORANG RAMAI DAN TERNYATA KEBESARAN KETUHANAN ALLAH S.W.T DALAM MEMPERLIHATKAN SIFAT KEHAMBAAN (PADA PARA WALI-NYA).

Orang yang jahil dan lemah imannya mudah terlintas sangkaan apabila berhadapan kejadian yang luar biasa yang terzahir daripada seseorang manusia. Nabi Ia a.s dilahirkan secara luar biasa, dan padanya terzahir mukjizat yang luar biasa, menyebabkan segolongan manusia menganggap beliau a.s sebagai anak Tuhan. Uzair yang ditidurkan oleh Allah s.w.t selama seratus tahun dan dijagakan di kalangan generasi yang sudah melupai Kitab Taurat, lalu Uzair membacakan isi Kitab Taurat dengan lancar. Orang ramai pun menganggap Uzair sebagai luar biasa, lalu mengangkatnya sebagai anak Tuhan.

Orang ramai sering mengagungkan manusia yang memiliki kebolehan yang luar biasa. Kadang-kadang cara pengagungan itu sangat keterlaluan sehingga orang yang diagungkan itu didudukkan pada taraf yang melebihi taraf manusia. Selain dianggap sebagai anak Tuhan, ada juga yang dianggap sebagai penjelmaan Tuhan. Timbul juga penabalan sebagai Imam Mahadi yang dijanjikan Tuhan.

Kesan pemujaan sesama manusia banyak terdapat pada lembaran sejarah. Pemujaan yang demikian disifatkan Allah s.w.t sebagai mempertuhankan makhluk. Perkara ini berlaku kerana salah mentafsirkan kejadian luar biasa yang terzahir pada orang berkenaan, walaupun mereka tidak meminta diagungkan.

Perkara luar biasa yang terjadi pada nabi-nabi dinamakan mukjizat dan yang terjadi pada wali-wali dinamakan keramat. Mukjizat menjadi sebahagian daripada bukti atau hujah kepada orang ramai tentang kebenaran kenabian. Fungsi utama mukjizat adalah memperkuatkan keyakinan orang ramai kepada seseorang nabi itu. Sesuai dengan fungsinya mukjizat berlaku secara terbuka dan diketahui umum. Keramat pula merupakan kurniaan khusus kepada para wali. Tujuan utamanya adalah untuk menambahkan keyakinan wali itu sendiri. Ia bukan bertujuan untuk membuktikan kedudukan wali itu kepada orang ramai.

Kekeramatan banyak berlaku pada zaman akhir ini, jarang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w dan para sahabat, sedangkan para sahabat baginda s.a.w adalah aulia Allah yang agung. Sebahagian daripada mereka telah pun diistiharkan sebagai ahli syurga ketika mereka masih hidup lagi. Mereka sudah memiliki iman yang sangat teguh, tidak perlu kepada kekeramatan untuk menguatkannya. Jaminan syurga yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w tidak membuat mereka mengurangkan khidmat bakti mereka kepada Allah s.w.t. Umat yang akhir ini tidak memiliki hati sebagaimana  umat pada zaman Rasulullah s.a.w. Umat zaman akhir ini memerlukan kekeramatan sebagai penawar yang menguatkan hati mereka. Oleh sebab kekeramatan itu lebih berguna untuk diri sendiri, maka ia lebih banyak berlaku secara tersembunyi, hanya sebilangan kecil yang menyaksikannya atau kadang-kadang tidak ada yang melihatnya. Sifat kewalian dizahirkan kepada wali Allah itu sendiri sedangkan kepada orang ramai dizahirkan sifat manusia biasa, hinggakan orang ramai tidak mengetahui kedudukannya yang sebenar. Dengan demikian seseorang wali Allah itu diberi layanan sebagai manusia biasa. Dia perlu hidup dan menguruskan kehidupan seperti orang ramai. Perilakunya yang memakai sifat kemanusiaan biasa menjadi contoh kepada orang ramai, bagaimana mahu menjalani kehidupan di dunia dengan mentaati Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w menjalani kehidupan sebagai manusia biasa di mana baginda s.a.w terpaksa mengikat perut dengan kain bagi menahan lapar, padahal dengan hanya berdoa kepada Allah s.w.t baginda s.a.w boleh menjadi kenyang tanpa makan. Para nabi dan para wali adalah manusia yang menjadi model untuk diikuti oleh orang ramai. Jika mereka hidup secara istimewa seperti bergerak secepat kilat dan kenyang tanpa makan, sudah tentu tidak ada manusia yang dapat mengikut mereka. Oleh itu apabila Allah s.w.t memakaikan sifat kehambaan seperti orang ramai kepada para nabi dan para wali-Nya itu adalah bagi kebaikan manusia umum. Orang ramai boleh mengikut contoh yang mudah dan tidak timbul pemujaan sesama manusia yang boleh membawa kepada syirik.

Al-Hikam#117

117: HAWA NAFSU DAN KESAMARAN JALAN

TIDAK DIKHUATIRKAN ATAS KAMU SAMARNYA JALAN YANG KAMU TEMPUHI, TETAPI YANG DIKHUATIRKAN ADALAH KEMENANGAN HAWA NAFSU ATAS KAMU.

Orang yang mendapat keinsafan untuk kembali kepada Allah s.w.t selalunya menghadapi kebingungan dalam memilih jalan menuju Allah s.w.t. Kebingungan dan kekeliruan akan bertambah jika seseorang itu cenderung untuk memasuki aliran tarekat   Percanggahan pendapat ulama dalam masyarakat membuatnya tidak dapat memutuskan siapakah yang benar. Satu pihak mendabik dada mengatakan bahawa mereka yang benar, dan pihak lain adalah salah. Mereka adalah ahli sunah sementara pihak lain adalah ahli bidaah. Menurut mereka, ilmu mereka yang Islamik, sementara ilmu pihak lain adalah sesat. Tarekat  merekalah yang sampai kepada Rasulullah s.a.w sementara tarekat  orang lain putus di tengah jalan. Jadi, siapakah yang berada di atas jalan yang benar lagi lurus? Jalan manakah yang mahu diikuti? Keadaan yang demikian membuat orang yang baharu untuk memilih jalan mengalami kebingungan dan kekeliruan.

Bagi mengelakkan kebingungan dan kekeliruan tersebut dan mencari penyelesaiannya, Kalam Hikmat 117 di atas menarik perhatian kepada persoalan pokok. Jangan terlalu khuatir tentang jalan mana yang mahu dipilih dan guru mana mahu diikuti. Apa yang penting adalah berwaspada agar diri kita tidak ditawan oleh nafsu. Sekiranya hawa nafsu menawan kita nescaya kita akan sesat walau jalan mana yang kita lalui dan guru mana kita ikuti. Hawa nafsu menyekat cahaya petunjuk dari masuk ke dalam hati. Bila hati dilengkungi oleh tembuk hawa nafsu tidak ada guru yang boleh memasukkan ilmu ke dalam dada kita dan tidak ada jalan yang dapat menetapkan langkah kita. Dengan ini, seelok-eloknya perhatian mesti diberi kepada latihan mengawal hawa nafsu. Bila hawa nafsu sudah terkawal, insya-Allah jalan kebenaran akan terbuka kepada kita. Sekiranya kita sedang mengikuti jalan yang salah, diheret oleh guru yang sesat, tetapi hawa nafsu tidak menawan kita, kita akan mudah menerima kebenaran bila ia datang. Dan, kita tidak keberatan untuk meninggalkan jalan yang salah dan guru yang sesat itu untuk mengikuti jalan yang lurus dan guru yang benar. Apa yang penting adalah maksud dan tujuan hendaklah betul. Tetapkan yang Allah s.w.t sahaja yang menjadi maksud dan tujuan. Jika belajar ilmu agama janganlah kerana bertujuan mahu menjadi guru yang dikagumi. Jika beramal ibadat jangan pula kekeramatan yang dituntut. Tetapkan haluan menuju Allah s.w.t. Jika kita berpegang dengan prinsip demikian mudahlah kita mencari guru yang benar dan jalan yang lurus. Guru mana pun boleh diikuti asalkan dia mengajar ilmu yang dari al-Quran dan as-Sunah, berpandu kepada perjalanan khalifah ar-rasyidin dan guru itu sendiri beramal mengikut ilmu tersebut. Tarekat  yang mana pun boleh diikuti asalkan ia berada dalam sempadan al-Quran dan as-Sunah, jangan mengadakan bidaah. Pada sepanjang masa bukakan hati untuk menerima taufik dan hidayat dari Allah s.w.t.

Seharusnya tidak terjadi kekeliruan dalam memilih jalan kerana Islam sudah cukup lengkap, nyata dan tidak ada samar-samar. Tarekat  Islam adalah zahir sibuk dengan syariat dan batin memperteguhkan iman. Hati bersandar kepada Allah s.w.t dan  mata hati memerhatikan Rububiyah dalam segala perkara dan pada setiap ketika. Jangan bersandar kepada amal dan ilmu. Perhatikan firman-firman-Nya:

Dan orang-orang Yahudi berkata: “Uzair ialah anak Allah”. Dan  orang-orang Nasrani berkata: “ Al-Masih  ialah anak Allah”. ( Ayat 30 : Surah at-Taubah )

Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan ahli-ahli agama mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah. ( Ayat 31 : Surah at-Taubah )

Bahkan mereka adalah menyembah  jin syaitan. ( Ayat 41 : Surah Saba’ )

Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipuja lagi ditaati? ( Ayat 43 : Surah al-Furqaan )

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq (derhaka)”. ( Ayat 24 : Surah at-Taubah )

Allah s.w.t telah menunjukkan jalan yang jelas. Syirik juga telah diperjelaskan. Seharusnya tidak terjadi kebingungan dalam mengatur langkah menuju Allah s.w.t. Jalan yang terang benderang itu akan menjadi samar sekiranya hawa nafsu menguasai hati. Oleh itu peliharalah hati kita agar kita tidak menjadi hamba kepada hawa nafsu yang akan membinasakan kita.

Al-Hikam#115-116

115 & 116: TAKDIR ADALAH UJIAN ALLAH S.W.T

SEHARUSNYA TIDAK MENEKAN (JIWA KAMU) OLEH BALA YANG MENIMPA KAMU KERANA KAMU MENGETAHUI BAHAWA TUHAN MENGUJI KAMU DAN DIA YANG MENIMPAKAN KAMU DENGAN TAKDIR-NYA ADALAH TUHAN YANG BIASA MEMBERIKAN KEPADA KAMU YANG BAIK-BAIK YANG DIPILIH UNTUK KAMU.

SESIAPA YANG MENYANGKA TIADA KEHALUSAN HIKMAT PADA TAKDIR YANG MENIMPANYA, ITU ADALAH KERANA SINGKAT PANDANGAN (MATA HATINYA).

Seseorang itu memiliki dua aspek kewujudan. Pertama ialah yang diciptakan dari ‘adam, dinamakan kewujudan zahir. Ia menjadi sarang, sarung atau bekas yang tidak mempunyai sebarang daya dan upaya, tidak boleh mendengar, melihat, berkata-kata, merasa, bergerak dan lain-lain. Ia boleh dianggap sebagai alat yang hanya menurut si pengguna alat itu. Kewujudan zahir pada hakikatnya tidak wujud. Kewujudan aspek kedua adalah kewujudan rohani yang dinisbahkan kepada Allah s.w.t, tidak kepada ‘adam. Wujud rohani inilah wujud yang sebenar, iaitu yang dibahasakan sebagai diri, hati, nafsu dan ungkapan “AKU”. Gabungan dua jenis kewujudan tersebut dinamakan manusia. Jika manusia itu tidak mempunyai jasad, iaitu jika ia hanya berada dalam aspek rohani sahaja, maka ia adalah malaikat. Jika ia hanya mempunyai jasad sahaja, maka ia adalah mayat.

Wujud yang datang dari ‘adam kembali kepada ‘adam, akan rosak binasa dan hilang terus. Ia bermula dari tiada dan kesudahannya pun tiada juga. Tidak ada apa-apa yang dapat dipertahankan dari kewujudan jenis ini. Ia juga tidak dapat dipertanggungjawabkan kerana apabila ia binasa tanggungjawabnya juga binasa. Fungsi kewujudan yang dari ‘adam ini adalah menjadi alat kepada wujud rohani. Wujud rohani memerintah dan menggunakan wujud ‘adam (benda). ‘Adam  dalam keadaan aslinya sebagai ‘adam tidak memiliki sebarang pengaruh atau kesan. Tetapi, bila ia menerima nikmat penciptaan, diberi suasana kebendaan, memakai berbagai-bagai rupa, maka ia juga diberi keupayaan untuk merangsang, mempengaruh dan menarik. Semua keupayaan tersebut tertuju kepada rohani. Alam benda yang diciptakan dari ‘adam bertindak sebagai besi berani menarik rohani agar menghadap kepadanya. Tindakan dan kesan dari alam benda kepada rohani itu dinamakan ujian. Semua yang diciptakan oleh Allah s.w.t menjadi alat yang menguji rohani. Benda-benda alam, kejadian dan pengalaman merupakan alat-alat yang menyampaikan ujian, tetapi bukanlah ujian itu sendiri. Ujian yang sebenar adalah cetusan yang lahir dalam hati ketika menerima kedatangan benda-benda alam, kejadian dan peristiwa. Misalnya, kematian orang yang dikasihi dialami oleh semua orang tetapi reaksi hati masing-masing tidak sama. Ada orang yang menangis, meraung, menghempaskan badannya ketika menghadapi kematian orang yang dikasihi itu. Ada pula orang yang menerimanya dengan tenang. Kejadian yang dihadapi adalah sama tetapi kesannya pada hati tidak sama. Orang yang menangis  dan meraung merasakan dia menghadapi ujian yang sangat hebat. Orang yang bertenang tidak merasakan sebarang ujian, malah dia menganggap apa yang berlaku sebagai takdir Allah s.w.t. Apa yang mesti berlaku apabila berlaku tidak dianggapnya sebagai ujian. Semuanya adalah takdir. Misal yang lain pula, ada orang yang tidak dapat tidur lena kerana ada orang yang telah menyindirnya. Dirasakannya peristiwa itu sebagai bala yang sangat besar. Orang lain pula menganggap sindiran sebagai gurauan yang remeh-temeh, tidak perlu disimpan di dalam hati. Sebenarnya apa yang berlaku dan apa yang orang lain kata tidak memberi sebarang kesan. Perkara yang memberi kesan adalah apa yang diri sendiri tekankan kepada dirinya. Benda-benda alam, kejadian dan peristiwa tidak mampu menekan jiwa seseorang. Orang itulah yang menekan jiwanya sendiri.

Segala yang dihadapi oleh seseorang itu dinamakan takdir. Takdir tidak menekan jiwa seseorang. Takdir adalah pembahagian yang Allah s.w.t telah tetapkan bagi setiap hamba-Nya. Tuhan yang membahagikan takdir itu adalah Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Takdir yang dipilih untuk hamba-Nya berada dalam sempadan kasihan belas dan kehalusan budi-Nya. Dia tidak berlaku kejam dan zalim kerana kejam dan zalim bukanlah sifat-Nya. Jika kita salah mentafsirkan kehalusan pembahagian takdir-Nya yang penuh dengan hikmat kebijaksanaan, itu adalah kerana kejahilan diri kita sendiri, ditambah lagi dengan lemahnya iman di hati.

Ilmu dan iman adalah pertahanan hati. Jika pertahanan ini lemah mudahlah bagi musuh-musuhnya mengenakan tipu daya yang menyebabkan apa sahaja yang mengenainya akan menjadi bala. Kekayaan akan membuatnya tamak. Kekuasan akan membuatnya hilang pedoman. Ilmu membuatnya ego. Apa juga yang dimilikinya tidak membuatnya berasa tenteram. Jiwanya sentiasa keresahan. Inilah orang yang tidak lepas dari ujian dan bala.

Hikmat yang menyentuh tentang ujian ini dikemukakan selepas disentuh tentang Sir dan Nur sifat Allah s.w.t yang membawa kita mengingati hamba-hamba pilihan iaitu para anbia. Mereka merupakan golongan yang paling banyak menerima ujian. Ujian merupakan perjalanan hidup nabi-nabi. Mereka telah memberi petunjuk bagaimana cara menghadapi ujian. Alat menghadapi ujian adalah berserah diri kepada Allah s.w.t. Di dalamnya ada sabar dan syukur. Ujian bala dihadapi dengan sabar dan ujian nikmat dihadapi dengan syukur.
Hati yang disinari oleh Sir yang menerima sinaran Nur sifat Allah s.w.t berpandangan jauh, mampu menyaksikan hikmah pada setiap perbuatan Allah s.w.t, baik dalam bala mahupun dalam nikmat. Bala dan nikmat tidak menghijab hati untuk melihat keadilan-Nya, kemurahan-Nya, kasih sayang-Nya, kasihan belas-Nya dan kebijaksanaan-Nya.

Rancang situs seperti ini dengan WordPress.com
Mulai