Al-Hikam#114

114: NUR SIFAT ALLAH S.W.T MENERANGI RAHASIA HATI

DITERANGI-NYA YANG ZAHIR DENGAN CAHAYA ATHAR DAN DITERANGI-NYA RAHSIA HATI DENGAN NUR SIFAT-NYA. OLEH SEBAB ITU TERBENAM CAHAYA TERANG YANG ZAHIR TETAPI TIDAK TERBENAM CAHAYA KALBU DAN SIR (HATI DAN RAHSIA HATI). BERKATA ORANG BIJAK PANDAI : “ MATAHARI SIANG TERBENAM PADA WAKTU MALAM TETAPI MATAHARI HATI TIDAK TERBENAM.”

Makhluk ini asalnya ‘adam (tidak ada). ‘Adam menerima kewujudan dari kesan perbuatan Allah s.w.t. Ada perbezaan antara perbuatan dengan kesan perbuatan. Misalnya, melukis adalah perbuatan dan lukisan adalah kesan perbuatan. Kesan kepada perbuatan adalah baharu sementara perbuatan pula menunjukkan sifat si pembuat. Perbuatan tidak berpisah daripada sifat dan sifat tidak berpisah daripada zat atau diri yang berkenaan. Kesan perbuatan tidak sedikit pun menyamai sifat yang asli. Kewujudan yang lahir dari kesan perbuatan Allah s.w.t tidak sedikit pun menyamai sifat Allah s.w.t. Apa sahaja yang mengenai Allah s.w.t, termasuklah perbuatan-Nya adalah:

Tidak ada sesuatu yang serupa dengan-Nya.

Kewujudan baharu yang menjadi kesan kepada perbuatan Allah s.w.t dinamakan athar. Alam semesta adalah athar. Tidak ada dari kalangan athar yang boleh dijadikan gambaran, ibarat atau lukisan untuk menceritakan tentang Pencipta athar. Kewujudan athar hanya boleh dijadikan dalil untuk menunjukkan Wujud Maha Pencipta. Jika tidak ada tindakan dari Maha Pencipta tentu tidak ada kewujudan yang menjadi kesan dari tindakan tersebut.

 Ahli ilmu merumuskan wujud alam menjadi bukti wujudnya Tuhan. Alam boleh menjadi bahan bukti kerana sifatnya yang boleh dilihat dan ada kenyataan mengenainya Ia menjadi nyata kerana ia diterangi oleh cahaya dan cahaya yang meneranginya adalah bahagian daripada athar juga. Matahari, bulan dan bintang adalah athar yang berkeupayaan memberikan cahaya.  Sifat athar adalah berubah-ubah, tidak menetap. Cahaya yang keluar darinya juga berubah-ubah, dari terang kepada malap dan seterusnya terbenam. Allah s.w.t berfirman:

Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yaqin. Maka ketika ia berada pada waktu malam yang gelap, ia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu ia berkata: “Inikah Tuhanku?” Kemudian apabila bintang itu terbenam, ia  berkata pula: “Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang”. Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), ia berkata: “Inikah Tuhanku?” Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah ia: “Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat”. Kemudian apabila ia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah ia: “Inikah Tuhanku? Ini lebih besar”. Setelah matahari terbenam, ia berkata pula: “Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya). Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyengutukan Allah (dengan sesuatu yang lain). ( Ayat 75 – 79 : Surah al-An’aam )

Ibrahim a.s mencari Tuhan dengan matanya bersuluhkan cahaya-cahaya athar. Beliau a.s kecewa kerana semua cahaya itu tidak menetap dan tidak bertahan. Lalu beliau a.s meninggalkan cahaya athar dan menghadapkan hati serta Rahsia hatinya kepada Maha Pencipta. Baharulah beliau a.s mendapat keyakinan yang teguh kerana cahaya yang menerangi hati dan Rahsia hatinya tidak berubah, tidak pudar dan tidak terbenam. Beliau a.s melihat dengan jelas bahawa athar tetap athar, tidak ada satu pun yang boleh disekutukan atau disifatkan kepada Tuhan.

Kekeliruan tentang Tuhan terjadi kerana manusia melihat kesan perbuatan Tuhan sebagai perbuatan, kemudian meletakkan hukum bahawa perbuatan tidak berpisah daripada sifat dan sifat tidak berpisah daripada zat. Oleh sebab itu perbuatan juga zat. Jika zat menjadi Tuhan maka perbuatan juga Tuhan dan apa yang terbit dari perbuatan juga Tuhan. Begitulah kesesatan yang terjadi akibat percubaan melihat Tuhan dengan suluhan cahaya athar dan menggunakan hukum logik matematik.

Seseorang haruslah melihat kepada asalnya iaitu ‘adam (tidak wujud). ‘Adam adalah lawan bagi Wujud. Jika manusia berpaling kepada ‘adam maka dia akan terhijab dari Wujud Allah s.w.t. Pandangannya akan diliputi oleh athar yang juga datang dari ‘adam. Tidak mungkin manusia menemui jalan yang sebenar jika mereka melalui jalan yang berdasarkan asal kejadiannya iaitu ‘adam. Tuhan adalah Wujud, mustahil ‘adam. Wujud-Nya Esa, tidak berbilang sedangkan wujud athar yang dari ‘adam berbilang-bilang. ‘Adam tetap tidak ada walaupun banyak makhluk yang diciptakan daripadanya. Penciptaan yang demikian tidak menambahkan Wujud. Walau sebanyak mana pun makhluk yang diciptakan namun, Allah s.w.t tetap Esa. Usaha untuk menemui keesaan Wujud Allah s.w.t dengan menuruti jalan ‘adam adalah sia-sia. Kewujudan aspek kedua mestilah disingkap jika Allah s.w.t mahu ditemui. Kewujudan yang perlu disingkapkan itu adalah yang berhubung dengan Wujud Allah s.w.t, bukan yang datangnya dari ‘adam. Kewujudan yang berhubung dengan Wujud Allah s.w.t itu adalah rohani. Firman-Nya:

Ingatlah peristiwa) tatkala Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menciptakankan manusia – Adam -dari tanah; Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh (ciptaan)-Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya”. ( Ayat 71 – 72 : Surah Saad )

Katakan: “ Roh itu dari perkara urusan Tuhanku.” ( Ayat 85 : Surah al- Israa’ )

Roh adalah amr (urusan atau perintah) Allah s.w.t, tidak termasuk dalam golongan yang diperintah. Malaikat, jin dan lain-lain termasuk dalam golongan yang diperintah. Roh manusia adalah satu Rahsia Allah s.w.t. Ia dinisbahkan kepada Allah s.w.t, bukan kepada ‘adam. Pada tahap amr (urusan) Tuhan ia dipanggil Sir (Rahsia Allah s.w.t), atau Rahsia hati. Pada tahap berkait dengan jasad ia dinamakan kalbu atau hati. Semua kualiti yang baik adalah berkait dengan toh dan semua kualiti yang jahat berkait dengan ‘adam. Jika alam maya diterangi oleh cahaya athar, hati dan rahsia hati yang dinisbahkan kepada roh urusan Tuhan, diterangi oleh nur sifat Allah s.w.t. Kualiti hati dan rahsia hati adalah mengenal. Nur sifat Allah s.w.t itulah yang menerangi hati untuk menyaksikan kepada Tuhannya. Hati orang arifbillah yang diterangi oleh nur sifat Allah s.w.t tidak lagi dikelirukan oleh cahaya athar dan benda-benda yang dipamerkan. Mata hati menyaksikan Rububiyah pada segala perkara. Zahirnya sibuk dengan makhluk, hatinya menyaksikan Rububiyah dan Sirnya (rahsia hati) tidak berpisah daripada Allah s.w.t walau sedetik pun.

Sir yang menerima sinaran Nur Sifatullah   membawa sifat-sifat yang menceritakan tentang Sifat Allah s.w.t yang menyinarinya. Manusia pilihan yang diheret oleh Sir tersebut akan memakai sifat-sifat yang menceritakan hubungannya dengan Allah s.w.t. Nabi Muhammad s.a.w dikenali sebagai Habiballah; Nabi Isa a.s sebagai Roh Allah; Nabi Musa a.s sebagai Kalim Allah; Nabi Ibrahim a.s sebagai Khalil Allah. Manusia yang bukan nabi juga menerima pimpinan Sir yang menerima sinaran Nur Sifatullah dan dengan yang demikian mereka dikenali. Abu Bakar dikenali sebagai as-Siddik dan Hamzah sebagai Singa Allah. Manusia lain pula ada yang dikenali sebagai Abdul Malik, Abdul Wahab, Abdul Karim, Abdul Latif dan lain-lain. Hamba-hamba pilihan itu mendapat gelaran yang dihubungkan dengan Allah s.w.t kerana Sir  mereka disinari oleh Nur Sifatullah, sebagai persediaan buat mereka menanggung amanah Allah s.w.t. Firman-N ya:

Dan (ingatkanlah peristiwa) hamba-hamba Kami: Nabi Ibrahim dan Nabi Ishaq serta Nabi Ya’aqub, yang mempunyai kekuatan (melaksanakan taat setianya) dan pandangan yang mendalam (memahami agamanya). Sesungguhnya Kami telah jadikan mereka suci bersih dengan sebab satu sifat mereka yang murni, iaitu sifat sentiasa memperingati negeri akhirat. Dan sesungguhnya mereka  di sisi Kami adalah orang-orang pilihan yang sebaik-baiknya. Dan (ingatkanlah peristiwa) Nabi Ismail dan Nabi Alyasa’, serta Nabi Zulkifli; dan mereka masing-masing adalah dari orang-orang yang sebaik-baiknya. ( Ayat 45 – 48 : Surah Saad )

Allah s.w.t mempersucikan hamba-hamba pilihan-Nya dengan menyinari Sir mereka dengan nur sifat-Nya dan dengan itu mereka menjadi sebaik-baik hamba yang menjalankan perintah Allah s.w.t.

Al-Hikam#113

113: ORANG ARIF BERHAJAT KEPADA ALLAH S.W.T

ORANG ARIF TIDAK LUPUT DARI RASA BERHAJAT KEPADA ALLAH S.W.T DAN TIDAK BERASA SENANG UNTUK BERSANDAR KEPADA SESUATU SELAIN ALLAH S.W.T.

Orang arif mempunyai hati yang sangat halus dan adab sopan yang sangat tinggi terhadap Allah s.w.t. Dia mengenali kurniaan dan kekuasaan Allah s.w.t pada nikmat penciptaan dan nikmat kesinambungan kewujudan yang diciptakan Allah s.w.t. Dia mengenali bahawa tiada satu detik pun makhluk terlepas dari pergantungan kepada Allah s.w.t. Tidak ada satu makhluk yang tidak diheret oleh ketentuan Allah s.w.t, sebagaimana firman-Nya:

Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat ( Ayat 2 : Surah al-Ikhlas )

Engkaulah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah kami memohon pertolongan. ( Ayat 4 : Surah al-Faatihah )

Allah s.w.t sahaja yang memiliki sifat-sifat ketuhanan yang menyebabkan sekalian makhluk berhajat kepada-Nya tanpa ada pilihan lain, dan kepada-Nya juga ditujukan semua ibadat. Apabila Dia menciptakan makhluk ditegakkan hukum ubudiyah kepada mereka. Dia berfirman:

Kemudian Ia menujukan kehendak-Nya ke arah (bahan-bahan) langit sedang langit itu masih berupa asap; lalu Ia berfirman kepadanya dan kepada bumi: “Turutlah kamu berdua akan perintah-Ku, samada dengan sukarela atau dengan paksa!” Keduanya menjawab: “Kami berdua sedia menurut – patuh dengan sukarela”. ( Ayat  11 : Surah Fussilat )

Langit dan bumi diciptakan oleh Allah s.w.t. Mereka dapat mendengar wahyu Allah s.w.t, dapat menjawab dan berbuat taat kepada-Nya. Begitu juga hati para arifbillah. Mereka sentiasa mendengar ucapan Allah s.w.t, membalas ucapan-Nya dan taat kepada-Nya. Allah s.w.t berucap tanpa bahasa dan hati mendengar tanpa telinga dan menjawab tanpa lisan. Begitulah hubungan hati para arifbillah. Mereka tidak lekang dari sifat keaslian mereka iaitu berhajat kepada Allah s.w.t, memohon petunjuk dari-Nya dan mentaati-Nya sepenuhnya. Tidak ada lagi hajat keperluan mereka kepada makhluk.

 Al-Quran menceritakan sifat para hamba yang mengenal Allah s.w.t. Mereka sentiasa menyatakan hajat dan pergantungan kepada-Nya. Mereka memohon pertolongan dan perlindungan-Nya daripada musuh-musuh mereka.

Yusuf menjawab: “Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu); sesungguhnya Tuhanku telah memeliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya”. ( Ayat 23 : Surah Yusuf )

Dan (setelah mendengar ancaman itu) Nabi Musa berkata: “Sesungguhnya aku berlindung kepada Allah Tuhanku dan Tuhan kamu –  dari (angkara) tiap-tiap orang yang sombong takbur, yang tidak beriman kepada hari hitungan amal!” ( Ayat 27 : Surah Mu’min )

Allah s.w.t mengajarkan agar manusia mohon berlindung kepada-Nya daripada musuh-musuh mereka terutamanya syaitan yang sentiasa mengintai peluang untuk mengheret manusia kepada kesesatan.

Dan katakan: “Wahai Tuhanku, aku berlindung kepada-Mu dari hasutan syaitan-syaitan. Dan aku berlindung kepada-Mu, wahai Tuhanku, supaya syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku”.
( Ayat 97 & 98 : Surah al-Mu’minuun )

Al-Hikam#112

112: KEIZINAN MEMINTA TANDA AKAN MENDAPAT KURNIA

APABILA DIIZINKAN LIDAH KAMU MEMBUAT PERMINTAAN MAKA KETAHUILAH BAHAWA ENGKAU AKAN MEMPEROLEHI KURNIA-NYA.

Orang yang mengembara pada jalan kerohanian menuju Allah s.w.t melalui empat suasana:
1:  Suasana nafsu ammarah atau sifat-sifat kebinatangan yang tidak menghiraukan batasan hukum dan suka memperturutkan hawa nafsunya. Inilah suasana ahli dunia.
2:  Suasana mengurung hawa nafsu dalam kandang hukum. Perkara haram dijauhkan dan banyak daripada perkara halal ditinggalkan kerana takut terjerumus ke dalam yang haram, juga supaya nafsu kebinatangan tidak kembali segar. Inilah suasana ahli akhirat yang kuat berpegang kepada syariat.
3:  Suasana nafsu kebinatangan sudah dikalahkan dan hati mengalami alam kebatinan atau  hakikat. Pancaran nur iman dan tauhid menerangi hati, membawa hati memperolehi isyarat-isyarat ketuhanan atau ilmu Rabbani. Inilah suasana kewalian.
4:  Suasana kehendak, maksud diri dan kesedaran diri terhapus dan dia masuk ke dalam keredaan dan kurniaan Allah s.w.t. Dia tidak lagi menggunakan apa yang mendatangkan manfaat kepadanya dan tidak menghindarkan apa yang mendatangkan mudarat kepadanya. Dia hanya bergantung dan menyerah kepada Allah s.w.t tanpa berkehendakkan apa-apa. Dia tidak lagi meminta pertukaran makam, tidak berhajat kepada apa-apa dan tidak memilih sesuatu untuk dirinya. Dia menerima takdir Allah s.w.t dengan reda. Inilah suasana badliat atau aulia pilihan Allah s.w.t.

Dalam perjalanan menuju makam takdir dan lakuan Allah s.w.t seseorang itu membuang keseronokan, kehendak dan kepentingan diri sendiri. Tidak ada maksud dan tujuannya kecuali Allah s.w.t. Dirinya sendiri sudah tidak kelihatan pada mata hatinya. Apabila dia sudah sampai ke makam takdir dan lakuan Allah s.w.t, maka Allah s.w.t mengembalikan dirinya dan keinginannya. Dia kembali kepada kesedaran kemanusiaan yang mempunyai hajat keperluan kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t memerintahkan kepadanya supaya meminta apa-apa yang telah diperuntukkan kepadanya. Permintaannya itu pasti dimakbulkan Allah s.w.t sebagai ganjaran bagi kesusahan yang telah ditempuhinya, juga sebagai menyatakan kedudukannya di sisi Allah s.w.t dan keredaan Allah s.w.t kepadanya. Orang yang sempurna perjalanan kerohaniannya kemudian kembali semula kepada makam insan adalah hamba yang layak bergelar khalifah Allah. Para khalifah Allah bekerja memakmurkan bumi ini dan membimbing manusia ke jalan Allah s.w.t. Sesuai dengan makam insan di mana dia didudukkan, maka dia bekerja mengikut cara manusia umum. Apabila dia berhajat sesuatu dia akan meminta kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t akan memakbulkan permintaannya sesuai dengan kedudukannya sebagai khalifah. Cara hidup begini ketara ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w, di mana baginda s.a.w sangat gemar berdoa kepada Allah s.w.t dan tidak ada doa baginda s.a.w yang dipersiakan Allah s.w.t. Hati yang telah cenderung untuk berdoa, setelah melepasi makam tiada doa, menunjukkan bahawa Allah s.w.t telah menyediakan kurniaan untuknya. Permintaan tersebut merupakan keizinan untuk dia mengambil apa yang menjadi bahagiannya.

Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina”. ( Ayat 60 : Surah Mu’min )

Orang yang beriman yakin dengan janji Allah s.w.t untuk memakbulkan segala doa. Mereka tidak jemu berdoa sekalipun ia mengambil masa yang lama untuk memperolehi apa yang didoakan itu. Nabi Zakaria a.s adalah salah seorang yang tidak jemu berdoa kepada Allah s.w.t. Kelambatan masa tidak mengurangkan keyakinan beliau a.s.

a merayu dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya telah lemahlah tulang-tulangku, dan telah putih melepaklah uban kepalaku; dan aku – wahai Tuhanku – tidak pernah merasa hampa dengan doa permohonanku kepadaMu”. ( Ayat 4 : Surah Maryam )

Allah s.w.t menjadikan doa sebagai satu hubungan seni di antara Dia dengan hamba-Nya. Dia suka mendengar hamba-Nya berdoa kepada-Nya, hinggakan di dalam syurga pun Dia masih memberi keizinan untuk hamba-Nya berdoa.

Doa ucapan mereka di dalam syurga itu ialah: “  (Maha Suci Engkau dari segala kekurangan wahai Tuhan)! “Dan ucapan permohonan mereka pada-Nya ialah: “  (Selamat sejahtera)! “Dan akhir doa mereka ialah: “  (segala puji dipersembahkan kepada Allah yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam)!” ( Ayat 10 : Surah Yunus )

Orang-orang yang hampir dengan Allah s.w.t, para ahli syurga gemar berdoa kepada-Nya kerana doa itu adalah perhubungan kasih sayang di antara Tuhan dengan hamba-Nya. Allah s.w.t ‘memanjakan’ hamba-Nya dengan membuka pintu doa.

Al-Hikam#111

111: UNS ( JINAK HATI DENGAN ALLAH S.W.T )

APABILA KAMU BERASA HILANG MINAT KAMU KEPADA MAKHLUK, MAKA KETAHUILAH BAHAWA AKAN DIBUKAKAN KEPADA KAMU PINTU BERJINAK-JINAK DENGAN ALLAH S.W.T.

Kehidupan ini pada zahirnya dikawal oleh hukum sebab musabab. Hukum sebab musabab berjalan melalui makhluk, maka kelihatanlah tindakan makhluk mencorakkan berbagai-bagai keadaan dan peristiwa. Kehidupan ini adalah umpama sebuah keretapi. Pengalaman yang diharungi oleh seseorang menjadi batang-batang besi sambung menyambung membentuk landasan dan memaksa keretapi bergerak mengikut  arah yang terbentuk. Keretapi tersebut bergerak mengheret gerabak-gerabak yang muatannya adalah berbagai-bagai anasir yang berkumpul dalam sistem sebab musabab, terdiri daripada berbagai-bagai jenis makhluk, memakai berbagai-bagai rupa dan nama. Semakin banyak sistem sebab musabab yang dikumpulkan semakin banyak juga makhluk yang mengenderai keretapi. Jika bahan yang dibawa terlalu banyak enjin keretapi tidak terdaya menarik gerabak-gerabak yang penuh dengan muatan itu. Keadaan ini memaksa keretapi berhenti kerana kehabisan tenaga. Tatkala itu semua bahan-bahan yang dimuatkan ke dalam gerabak keretapi perlu dinilai semula. Hasil daripada penilaian semula akan didapati banyak daripada muatannya adalah bahan yang tidak berguna. Sebahagiannya adalah sampah sarap dan sebahagian lagi benda-benda sisa buangan yang kotor dan menjijikkan. Banyak juga sisa toksid yang memudaratkan.

Sesiapa yang membuat penilaian semula terhadap bahan-bahan yang dimuatkan ke dalam gerabak keretapinya pasti akan menggelengkan kepalanya, melihat kebodohan dirinya sendiri mengangkut, mengheret dan menjaga benda-benda yang tidak berguna, kotor, menjijikkan dan memudaratkan. Lalu dia membuat keputusan untuk melepaskan gerabak-gerabak yang diisi dengan bahan-bahan yang demikian. Gerabak-gerabak tersebut dicantumkan oleh penyambung-penyambung. Penyambung perlu dibuang untuk melepaskan gerabak berkenaan. Penyambung yang perlu dibuang adalah yang dipanggil kasihkan dunia, panjang angan-angan, menurutkan syahwat, gemar kepada kemasyhuran, hasad dengki, dendam dan lain-lain yang seumpamanya. Dia sudah sedar bahawa penyambung-penyambung tersebutlah yang memaksanya membawa beban yang berat menyebabkan kuasa enjinnya digunakan dengan sia-sia. Bila semua penyambung berkenaan sudah dilepaskan maka terpisahlah semua gerabak yang diisi dengan bahan-bahan yang tidak berguna tadi. Keretapinya pun dapat meneruskan perjalanan dengan selesa.

 Ketika di dalam suasana asbab, ahli asbab yang menghadapi makhluk yang bertindak dalam sistem sebab musabab akan mengadakan sebab musabab juga untuk melepaskan dirinya dari sebab musabab yang menguasainya. Kadang-kadang sebab musabab yang mendatang mengatasi kekuatan sebab musabab yang diciptanya. Dalam perkara ini, yang mendatang dapat mengalahkannya. Ini menyebabkan jiwanya berasa tertekan. Bila tekanan itu menjadi sangat kuat dan dia tidak berdaya menahannya, dia akan memberontak dengan melawan sistem sebab musabab itu sendiri, termasuklah makhluk yang terlibat dalam arus sebab musabab. Perlawanan yang dilakukannya bukanlah mengadakan sebab musabab yang lebih kuat, tetapi dia menentang dengan cara membebaskan dirinya dari sebab musabab, iaitu dia melepaskan rantai kekuasan makhluk terhadap dirinya. Dia menanggalkan asbab dan digantikannya dengan tajrid.

Dalam suasana asbab hati menghadap kepada makhluk dan sibuk melayani kerenah makhluk yang mendatanginya. Bila hati melangkah kepada suasana tajrid ia akan menghadap kepada Tuhan dan tidak mengambil berat tentang kerenah makhluk. Hati hanya mempunyai satu muka. Jika ia menghadap kepada makhluk ia membelakangi Tuhan dan jika ia menghadap kepada Tuhan ia membelakangi makhluk. Apabila Allah s.w.t berkehendak memberi taufik dan hidayat kepada hamba-Nya, hati hamba itu dipalingkan kepada-Nya. Hati yang menghadap kepada Allah s.w.t akan merasakan jalinan kemesraan dengan-Nya. Hati menyukai apa yang Allah s.w.t sukai. Ia gemar melakukan amal ibadat kerana Allah s.w.t sukakannya. Ia sanggup melakukan amal ibadat dengan banyak semata-mata kerana mahu menggembirakan Allah s.w.t. Tidak ada niat untuk dunia atau akhirat. Segala-galanya kerana Allah s.w.t. Suasana hati yang begini dinamakan uns, iaitu hati berasa jinak dengan Allah s.w.t.

Uns adalah sebahagian daripada pengalaman hakikat. Ia memberi tenaga kepada rohani agar kuat menempuh dugaan yang hebat dan gemar melakukan ibadat dengan bersungguh-sungguh. Uns menjadi tenaga yang membawa cinta-kasih yang mendalam terhadap Allah s.w.t.  Cinta-kasih menjadi tangga untuk mencapai muraqabah. Muraqabah (bebas hati dari pengaruh makhluk) menjadi tangga untuk mencapai peringkat yang lebih tinggi, di mana hati nurani disinari oleh Nur Ilahi Yang Maha Suci membuka Cinta Hakiki yang tidak terbatas kepada zat Yang Maha Esa.

 Tanda seseorang itu dibukakan kepadanya pintu uns yang boleh membawa kepada pintu-pintu lain adalah orang yang berkenaan tidak berminat untuk melayani kerenah makhluk. Dia lebih suka bersendirian dengan khalwatnya. Kegiatannya adalah mengingati Allah s.w.t sepanjang masa, ketika duduk, berdiri dan berbaring. Dalam suasana yang demikian terbukalah kepadanya pintu hikmah untuk menyaksikan kebesaran Allah s.w.t pada sekalian kejadian-Nya.

Al-Quran menceritakan hubungan hati yang menghadap kepada Allah s.w.t dan banyak mengingati-Nya sehingga terbuka pintu tafakur untuk mengenali Allah s.w.t:

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan  duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharakanlah kami dari azab neraka”. ( Ayat 191 : Surah a-li ‘Imran )

Hati yang sudah berpaling kepada Allah s.w.t dipalingkan daripada tipu daya syaitan.

Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari syaitan, mereka  ingat (kepada ajaran Allah), maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar). ( Ayat 201 : Surah al-A’raaf )

Begitulah, apabila Allah s.w.t mahu menolong hamba-Nya, dijinakkan hati hamba itu agar menghadap kepada-Nya dan dipelihara-Nya hati itu daripada musuh-musuhnya

Al-Hikam#109-110

109 & 110: HAMBA BERHAJAT KEPADA TUHAN

BERHAJAT KEPADA ALLAH S.W.T ADALAH SIFAT SEBENAR ZAT DIRI KAMU, SEMENTARA SEBAB MUSABAB (YANG MENGENAI KAMU) ADALAH PERINGATAN KEPADA SESUATU YANG TERSEMBUNYI DARIPADA DIRI KAMU TENTANGNYA (SIFAT KEASLIAN KAMU) DAN KEADAAN KAMU YANG BERHAJAT (KEPADA ALLAH S.W.T) ITU TIDAK DAPAT DIANGKAT OLEH SESUATU YANG SIFATNYA MENDATANG.

SEBAIK-BAIK WAKTU KAMU ADALAH DI MANA KAMU MELIHAT DALAMNYA ADA HAJAT (KEPADA ALLAH S.W.T) DAN KAMU KEMBALI KEPADA KEHINAAN KAMU (MEMPERAKUI PERGANTUNGAN KAMU KEPADA ALLAH S.W.T).

Allah s.w.t menyempurnakan nikmat-nikmat penciptaan dan keberlangsungan kewujudan hamba-hamba-Nya. Wujud makhluk bergantung kepada Wujud Allah s.w.t dan kesinambungan kewujudan makhluk bergantung kepada kurniaan Allah s.w.t. Apa sahaja yang diciptakan oleh Allah s.w.t tidak boleh melepaskan diri dari pergantungan kepada Allah s.w.t. Keadaan berhajat kepada Allah s.w.t ini menjadi sifat asli bagi makhluk. Tidak ada satu pun makhluk yang mampu meneruskan kewujudan dan kehidupannya tanpa sokongan dari Allah s.w.t.
Dalam menjalani kehidupannya seseorang hamba Allah s.w.t didatangi oleh berbagai-bagai sebab musabab. Secara zahirnya kehidupan hamba Allah s.w.t dipengaruhi oleh hukum sebab musabab. Ada anak sebab ada hubungan ibu dengan bapa. Berlaku kematian disebabkan oleh penyakit. Adanya proses pembesaran sebab ada makanan yang berkhasiat. Sesuatu perkara berlaku sesuai dengan sebab yang menghasilkan akibat. Sistem sebab dan akibat ini sangat rapi sehingga manusia dapat menyusun peraturan sebab musabab yang boleh menghasilkan akibat. Kerapian susunan sistem sebab musabab menambahkan lagi pengaruhnya kepada hati manusia. Apabila perhatian hanya tertumpu kepada sistem sebab musabab mereka pun melupai asal kejadian dan sifat asli mereka. Mereka lupa kepada zat mereka iaitu ‘adam yang menerima nikmat kewujudan dan nikmat kesinambungan kewujudan. Mereka tidak dapat melihat bahawa sebab musabab adalah sebahagian daripada nikmat kurniaan Allah s.w.t yang menyambung kehidupan mereka.

Orang yang telah lupa kepada keaslian diri mereka perlu diberi peringatan. Peringatan yang datang kepada mereka juga dalam bentuk sebab musabab. Mereka dibiarkan mengadakan sebab tetapi akibat yang sesuai dengan sebab tersebut ditahan, sebaliknya akibat yang tidak diduga dilepaskan. Mereka dihadapkan dengan keadaan di mana sebab tidak mampu mempengaruhi akibat. Ikhtiar mereka tidak menghasilkan pulangan yang sepatutnya diperolehi. Ini membuat mereka berasa kecewa dengan sebab-sebab. Kekecewaan tersebut mengalihkan pandangan mereka kepada sifat keaslian mereka iaitu berhajat kepada Allah s.w.t yang menguasai semua sebab dan akibat. Mereka dapat melihat dengan jelas bahawa berpegang kepada hukum sebab musabab tidak melepaskan pergantungan mereka kepada Allah s.w.t. Sebab musabab adalah perkara yang datang kemudian sedangkan susunan tadbir Allah s.w.t datang lebih dahulu, menemaninya sejak mula hinggalah sampai bila-bila.

Tidak ada kekuatan sebab musabab yang dapat mengubah apa yang telah diatur oleh Allah s.w.t. Peraturan Allah s.w.t sahaja yang menyambung penghidupan mereka, bukan sebab musabab yang datang kemudian. Orang yang melihat kepada hakikat ini hanya mengambil sebab musabab sebagaimana layaknya sebagai manusia tetapi mereka tidak meletakkan  keberkesanannya kepada sebab musabab. Kekuasaan Allah s.w.t sahaja yang menentukan keberkesanan sesuatu sebab. Oleh sebab itu sifat asli hamba yang berhajat kepada Allah s.w.t tidak dapat diangkat oleh sebab musabab yang datang kemudian daripadanya.

Seseorang yang kembali kepada keasliannya mengakui akan keadaan dirinya yang lemah dan berhajat kepada Allah s.w.t. Mereka akan mengisi setiap ruang dan waktu kehidupannya dengan memperteguhkan pergantungannya kepada Allah s.w.t. Zahirnya mengadakan sebab musabab tetapi batinnya berserah kepada Allah s.w.t yang menguasai semua sebab dan menentukan akibat. Dia menghayati nikmat kesinambungan kewujudan sebagai hamba Allah s.w.t. Dia menjalani kehidupan yang penuh dengan sebab musabab tanpa mengalih pandangan daripada as-Samad, Tuhan yang dihajati oleh semua makhluk.

Al-Hikam#107-108

107 & 108: NIKMAT PENCIPTAAN DAN NIKMAT SUSULAN

DUA NIKMAT YANG TIDAK TERPISAH MAKHLUK DARI KEDUA-DUANYA DAN TIDAK DAPAT TIDAK BAGI SETIAP MAKHLUK MAUJUD DARI KEDUA-DUANYA, ITULAH NIKMAT DICIPTAKAN DAN NIKMAT YANG MENYUSUL (SETELAH DICIPTAKAN).

ALLAH S.W.T MEMBERI NIKMAT KEPADA KAMU KALI PERTAMANYA DENGAN MENCIPTAKAN KAMU DAN KALI KE DUANYA DENGAN MELENGKAPI KEPERLUAN KAMU.

Semua makhluk asalnya tidak ada. ‘Adam (yang tidak ada) adalah zat makhluk. Apabila Allah s.w.t berkehendak menciptakan makhluk maka disinari-Nya ‘adam dengan cahaya nur Wujud-Nya lalu ‘adam menjadi maujud. Makhluk dalam aspek zatnya yang asli adalah ‘adam (tidak wujud) dan dalam aspek kewujudan adalah ciptaan Allah s.w.t yang bergantung kepada Wujud Allah s.w.t. Nikmat pertama yang dikurniakan Allah s.w.t kepada ‘adam (zat makhluk) adalah nikmat penciptaan iaitu ‘adam diterangi dengan cahaya nur Wujud Allah s.w.t, lalu terciptalah makhluk. Bagi ‘adam apabila Allah s.w.t kurniakan kepadanya kewujudan itu merupakan nikmat yang sangat besar, tidak ada yang selain Allah s.w.t dapat berbuat demikian.

Bertasbihlah mensucikan nama Tuhanmu Yang Maha Tinggi (dari sifat-sifat kekurangan), –  Yang telah menciptakan (sekalian makhluk-Nya) serta menyempurnakan kejadiannya dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya; Dan Yang telah mengatur (keadaan makhluk-makhluk-Nya) serta memberikan hidayah petunjuk (ke jalan keselamatannya dan kesempurnaannya); ( Ayat 1 – 3 : Surah al-A’laa )

Dan Allah menciptakan tiap-tiap haiwan yang bergerak itu dari air; maka sebahagian di antara mereka menjalar atas perutnya, dan sebahagian di antaranya berjalan dengan dua kaki, dan sebahagian lagi berjalan dengan empat kaki. Allah menciptakan apa sahaja yang Ia kehendaki (selain dari yang tersebut), kerana sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. ( Ayat 45 : Surah an-Nur )

Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu  dengan sebaik-baiknya, dan dimulakan-Nya kejadian manusia berasal dari tanah; Kemudian Ia menjadikan keturunan manusia itu dari sejenis pati, iaitu dari air (benih) yang sedikit dipandang orang; Kemudian Ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya; roh ciptaan-Nya. Dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu yang bersyukur. ( Ayat 7 – 9 : Surah as-Sajdah )

 Setelah memberinya nikmat kewujudan Allah s.w.t mengurniakan pula nikmat ke dua, iaitu keberlangsungan kewujudan itu. Pada nikmat pertama ‘adam memperolehi taraf al-khalaq (makhluk atau ciptaan) dan pada nikmat ke dua makhluk mendapat taraf abd (hamba yang mempunyai Tuan yang menguruskan kehidupannya). Makhluk memperolehi kewujudan dan abdi meneruskan kewujudan serta ada Qadar untuknya. Setiap abdi Allah s.w.t disediakan ketentuan untuknya dan tidak ada abdi yang lain dapat menghalangnya dari menikmati apa yang telah Allah s.w.t peruntukkan kepadanya. Telah diperuntukkan sejumlah nafas yang akan dihirupnya, rezeki yang akan dinikmatinya, umur yang akan dijalaninya dan berbagai-bagai lagi yang tidak mungkin disenaraikan. Tidak ada kewujudan abdi yang boleh berkata Tuhan menciptakannya kemudian membiarkannya begitu sahaja. Abdi yang pada mulanya tidak ada, sebaik sahaja dia menjadi ada, didapatinya segala keperluan kewujudan dan kesinambungan kewujudannya telah pun disediakan oleh Allah s.w.t. Begitulah besarnya nikmat susulan yang mengiringi nikmat penciptaan yang dikurniakan Allah s.w.t kepada hamba-hamba-Nya. Setiap hamba-Nya menerima layanan yang adil dari-Nya tanpa mengira apakah mereka ahli taat atau ahli maksiat. Nikmat-Nya merata kepada semua penciptaan-Nya.

Dia (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala  yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendak-Nya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikan-Nya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. ( Ayat 29 : Surah al-Baqarah )

Bahkan siapakah yang telah mencipta langit dan bumi; dan menurunkan hujan dari langit untuk kamu? Lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu tanaman dan kebun-kebun (yang menghijau subur) dengan indahnya, yang kamu tidak dapat dan tidak berkuasa menumbuhkan pohon-pohonnya. Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? (Tidak!) bahkan mereka (yang musyrik) adalah kaum yang menyeleweng dari kebenaran (tauhid). Atau siapakah yang telah menjadikan bumi tempat penetapan; dan telah menjadikan sungai-sungai di antara bahagian-bahagiannya; dan telah menjadikan untuknya gunung-ganang yang menetapnya; dan juga telah menjadikan di antara dua laut (yang masin dan yang tawar) sekatan (semula jadi) yang memisahnya? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? (Tidak!) bahkan kebanyakan mereka (yang musyrik) tidak mengetahui. Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang menderita apabila ia berdoa kepada-Nya, dan yang menghapuskan kesusahan, serta menjadikan kamu pengganti (umat-umat yang telah lalu) mendiami dan menguasai bumi? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? Amat sedikit di antara kamu yang mengingati (nikmat Allah itu). Atau siapakah yang menunjukkan jalan kepada kamu dalam gelap-gelita darat dan laut, dan yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan sebelum kedatangan rahmat-Nya? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? Maha Tinggilah keadaan Allah dari apa yang mereka sekutukan dengan-Nya. Atau siapakah yang memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian Ia mengembalikannya (hidup semula sesudah matinya), dan siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? Katakanlah (wahai Muhammad): “Bawalah ke mari keterangan-keterangan kamu, jika betul kamu orang-orang yang benar”. ( Ayat  60 – 64 : Surah an-Naml )

Al-Hikam#105-106

105 & 106: JALAN KEPADA ALLAH S.W.T

KADANGKALA DIBUKAKAN KEPADA KAMU PINTU TAAT TETAPI TIDAK DIBUKAKAN PINTU MAKBUL PERMINTAAN. KADANGKALA KAMU TERDORONG KE DALAM DOSA TETAPI DOSA ITU MENJADI SEBAB MENYAMPAIKAN KAMU (KEPADA ALLAH S.W.T).

MAKSIAT YANG MELAHIRKAN RASA HINA DIRI (KEPADA ALLAH S.W.T) DAN RASA BERHAJAT KEPADA-NYA LEBIH BAIK DARIPADA TAAT YANG MELAHIRKAN RASA MEGAH DAN TAKBUR.

Allah s.w.t menyediakan beberapa jalan bagi hamba-Nya mendekatkan diri kepada-Nya. Ada jalan positif dan ada jalan negatif. Jalan positif adalah jalan taat dan jalan negatif adalah jalan maksiat. Kedua-dua jalan tersebut berbeza pada permulaannya tetapi mempunyai persamaan pada akhirannya. Walau jalan mana yang dilalui ia tidak sunyi dari ujian. Orang yang melalui jalan taat berkemungkinan diuji dengan permintaannya tidak dimakbulkan. Ujian yang seperti ini baik bagi mendidik rohaninya. Biasanya orang yang mengambil jalan taat cenderung untuk melihat kepada amal ketaatannya. Amal ibadat yang dilakukan dengan banyak sangat menyenangkan hatinya. Dia mudah merasakan ketaatannya itulah yang menyampaikannya kepada Tuhan. Dia melihat perubahan yang berlaku pada dirinya dari malas beribadat kepada rajin beribadat, sifat-sifat yang tidak baik tertanggal darinya, lalu dia mengaitkan kebaikan yang berlaku pada dirinya dengan amal ibadat yang dikerjakannya. Dia meletakkan pencapaiannya pada amalannya. Dia juga mudah merasakan bahawa dirinya sudah suci bersih, sudah hampir dengan Allah s.w.t dan tentu sahaja Allah s.w.t memperkenankan segala permintaannya.

Tanpa dia menyedari perasaan yang demikian menghalang kemajuan rohaninya. Perasaan tersebut memperkuatkan kesedaran diri sendiri kerana dia dikuasai oleh kepentingan diri sendiri. Sifat ini tidak sesuai bagi mendekati Allah s.w.t kerana orang yang hampir dengan Allah s.w.t lebih senang dengan pilihan Allah s.w.t dari kehendak diri sendiri. Bertambah hampir dengan Allah s.w.t bertambahlah dia karam dalam kerelaan terhadap takdir Ilahi, sehingga dia tidak mempunyai kepentingan diri sendiri lagi, semuanya diserahkan kepada Allah s.w.t.

Orang yang masih mempunyai hajat dan permintaan adalah orang yang belum bulat penyerahannya kepada Allah s.w.t. Dia masih dihijab oleh kepentingan duniawi atau ukhrawi. Jika Allah s.w.t berkehendak menyampaikan hamba ini kepada-Nya, maka Dia akan menghancurkan kepentingan dirinya sehingga dia tidak berhajat kepada apa-apa lagi kecuali sampai kepada Allah s.w.t. Dalam proses menghancurkan kepentingan diri itu permintaannya tidak dimakbulkan. Apabila permintaannya tidak dimakbulkan sedangkan amal ketaatannya sangat banyak, dia akan mengalihkan pandangannya dari ketaatannya kepada Allah s.w.t yang memegang hak memberi dan menolak. Dia tidak lagi melihat amal ketaatannya menjadi sebab untuknya sampai kepada Allah s.w.t. Dia akan melepaskan pergantungan kepada amal ketaatan lalu dia menyerahkan dirinya kepada Allah s.w.t. Penyerahan membawanya reda dengan apa yang Allah s.w.t takdirkan untuknya. Apabila dia reda dengan Allah s.w.t dan Allah s.w.t reda dengannya maka dia dibawa hampir kepada-Nya. Masuklah dia ke Hadrat Allah s.w.t tanpa sebarang kepentingan diri sendiri.

Jalan satu lagi adalah jalan orang yang melakukan kesalahan, dosa dan maksiat. Kebanyakan orang yang sampai kepada Allah s.w.t, melalui jalan ini. Syaratnya mereka tidak berputus asa dari rahmat Allah s.w.t. Manusia pertama diciptakan Allah s.w.t, iaitu Adam a.s telah melakukan kesalahan kerana tidak berpegang kepada amanat yang Allah s.w.t pertaruhkan kepadanya. Firman Allah s.w.t:

Kemudian mereka berdua (Adam dan Hawa) memakan (buah) dari (pohon) itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (dari mencapai hajatnya). Kemudian Tuhannya memilihnya (dengan diberi taufik untuk bertaubat), lalu Allah menerima taubatnya serta diberi petunjuk. ( Ayat 121 – 122 : Surah Taha )

Adam a.s telah melakukan kesalahan tetapi beliau a.s mengakui kesalahan tersebut dan bertaubat kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t menerima taubat beliau a.s dan menjadikan beliau a.s sebagai hamba pilihan dan membimbingnya. Apa yang berlaku kepada Adam a.s seharusnya menjadi teladan kepada umat manusia sekaliannya. Adam a.s tidak berdolak-dalik, tidak mengada-adakan alasan. Beliau a.s mengakui dengan jujur akan kesilapannya dan memohon keampunan dari Allah s.w.t serta berserah diri kepada-Nya. Kesilapan Adam a.s diabadikan di dalam kitab-kitab suci, dibaca oleh semua umat manusia pada semua zaman. Adam a.s tidak terkilan kerana Allah s.w.t mendedahkan kesalahannya kepada sekalian makhluk. Beliau a.s tidak meminta Allah s.w.t menyembunyikan kesalahan yang telah dibuatnya itu. Beliau a.s reda dengan apa juga keputusan Allah s.w.t. Apabila seseorang reda dengan keputusan Allah s.w.t, tidak ada siapa lagi yang ditakutinya kecuali Allah s.w.t.

Sikap yang ditunjukkan oleh manusia umum berbeza daripada sikap yang telah ditunjukkan oleh bapa mereka, Adam a.s. Biasanya ejekan, sindiran dan kata-kata orang ramai mempengaruhi jiwa seseorang yang pernah berbuat salah. Dia akan berikhtiar bersungguh-sungguh untuk menyembunyikan kesalahannya. Jika kesalahannya diketahui oleh orang lain dia akan berasa terhina. Manusia umum malu kepada sesama manusia tetapi tidak malu kepada Allah s.w.t yang sentiasa melihat perbuatannya. Berbeza dengan Adam a.s, malunya kepada Allah s.w.t membuatnya lupa kepada yang lain dan rela dengan apa juga yang Allah s.w.t kenakan kepadanya sebagai hukuman. Beliau a.s diberikan hukuman yang sangat berat, iaitu dikeluarkan dari syurga, tempat yang senang lenang, kepada dunia yang penuh dengan kepayahan. Beliau a.s menerima kehidupan yang sukar ini dan menghabiskan hayatnya di atas muka bumi dengan berbuat taat kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t memuji sikap tersebut:

Dan orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka, dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah  lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah  keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal. ( Ayat 135 – 136 : Surah a-li ‘Imran )

Kesalahan, maksiat dan dosa sering melahirkan manusia yang insaf, bertaubat dan kembali kepada Allah s.w.t. Mereka menghambakan diri sepenuhnya kepada-Nya. Allah s.w.t senang dengan mereka lalu Dia membawa mereka  hampir dengan-Nya. Keadaan mereka jauh lebih baik daripada orang yang pada zahirnya kuat berbuat taat tetapi batinnya diselimuti oleh ujub dan takbur, melihat diri sudah sempurna dan berbangga dengan banyaknya amal yang dikerjakan dan ilmu yang dimiliki. Orang yang ujub dan takbur dijauhkan dari Allah s.w.t, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka didekatkan.

Al-Hikam#103-104

103 & 104: PEMBERIAN DAN PENOLAKAN MEMPERKENALKAN ALLAH S.W.T

APABILA DIKURNIAKAN KEPADA KAMU BERMAKNA DIPERLIHATKAN KEPADA KAMU KEMURAHAN-NYA. APABILA DITAHAN PEMBERIAN BERMAKNA DIPERLIHATKAN KEPADA KAMU KEKUASAAN-NYA. MAKA DIA PADA SEGALA PERKARA MEMPERKENALKAN DIRI-NYA KEPADA KAMU DAN MENGHADAPKAN KEPADA WUJUD (KELEMBUTAN)-NYA.

SESUNGGUHNYA TERASA PEDIH PENOLAKAN ALLAH S.W.T ADALAH KERANA KAMU TIDAK MENGERTI TENTANG ALLAH S.W.T DALAM PENOLAKAN TERSEBUT.

Setiap kejadian Allah s.w.t ada pasangan atau lawannya. Kanan berpasangan dengan kiri. Putih berpasangan dengan hitam. Gagah berpasangan dengan lemah. Senang berpasangan dengan susah. Pemberian berpasangan dengan penolakan. Semuanya ada penjodohan. Tetapi, Allah s.w.t tidak ada penjodohan. Dia hanya Satu, Maha Esa, tidak beranak dan tidak diperanakkan. Tidak ada sesuatu yang setara dengan-Nya.

Allah s.w.t menciptakan makhluk-Nya berpasang-pasangan. Pada makhluk-Nya yang berpasangan dan berlawanan itu ada kenyataan tentang kekuasaan dan kebijaksanaan-Nya yang tidak ada tandingan. Dia esa dalam segala segi. Esa pada sifat-Nya dan esa pada Zat-Nya. Esa pada nama-Nya dan perbuatan-Nya. Dia memperkenalkan keesaan Zat-Nya melalui sifat-Nya dan memperkenalkan sifat-Nya melalui perbuatan-Nya. Alam semesta dengan segala isinya dan kejadian yang berlaku di dalamnya adalah manifestasi perbuatan-Nya. Tuhan adalah Maha Baik, sebab itu perbuatan-Nya juga adalah baik. Tidak ada perbuatan-Nya yang tidak baik. Tidak ada kejahatan pada sisi Allah s.w.t. Tidak ada kejahatan yang dinisbahkan kepada Allah s.w.t. Adanya yang tidak baik dan kejahatan hanyalah apabila ada perkaitan sesuatu perkara dengan manusia.

Baik dan buruk adalah dua nilai yang diletakkan pada manusia. Segala perkara datang kepada manusia melalui salah satu daripada dua pintu iaitu pintu positif dan pintu negatif. Perkara yang dinilaikan sebagai baik datangnya dari pintu positif dan yang dinilaikan sebagai tidak baik datangnya dari pintu negatif. Jika seseorang mengambil sikap menerima sahaja apa yang datang maka dia akan melihat unsur-unsur positif dan negatif yang berlawanan. Andainya dia menjenguk ke dalam kedua-dua pintu tersebut nescaya dia akan melihat bahawa pintu-pintu itu terbuka kepada satu ruang yang sama. Sebelum keluar melalui pintu-pintu yang berasingan semuanya berkumpul dalam ruang yang sama secara harmoni, tiada perlawanan.

Jika kita renungi dengan mendalam kita akan dapati bahawa perlawanan dan pertentangan diwujudkan oleh hati kita. Hati yang membuat tafsiran dan penilaian. Hati yang mengalami kemanisan dan kepahitan. Hatilah tempat jatuh tilikan Tuhan dan tempat dituangkan ilham. Hatilah yang mampu mengenal Tuhan. Hatilah yang berhubungan dengan Tuhan. Pintu-pintu positif dan negatif adalah jambatan yang menghubungkan hati dengan Tuhan. Melalui kedua-dua pintu tersebut hati mengenali-Nya.

Sesuatu kualiti dikenali kerana ada kualiti lain yang bertentangan dengannya. Manis dikenali kerana ada tawar, begitu juga sebaliknya. Cantik dikenali kerana ada hodoh, begitu juga sebaliknya. Pemberian dikenali kerana ada penolakan, begitu juga sebaliknya. Dua perkara yang bertentangan masing-masing memperkenalkan yang berlawanan dengannya. Kedua-duanya pula memperkenalkan faktor yang mengwujudkan dua perkara tersebut. Pemberian dan penolakan memperkenalkan yang menguasai kedua-duanya. Hamba yang mengenali pemberian Allah s.w.t akan mengenali penolakan-Nya. Hamba yang mengenali penolakan-Nya akan mengenali pemberian-Nya. Kepedihan pada penolakan membuat si hamba tahu bersyukur pada pemberian-Nya, mengenal kebaikan dan kemurahan-Nya. Kesenangan pada pemberian-Nya membuat si hamba mengenali kekuasaan-Nya pada penolakan-Nya. Pengenalan kepada kedua-duanya membuat si hamba mengenal Tuhan yang menguasai kedua-duanya itu. Si hamba tidak menjadi keliru  tatkala menerima pemberian atau penolakan dari Tuhan yang satu. Walau dari pintu mana pun sesuatu itu datang kepadanya, dia tetap menerimanya dari Tuhannya, dan yang datang itu menceritakan sesuatu tentang Tuhan. Pertukaran di antara pemberian dan penolakan melahirkan rasa kemesraan hubungannya dengan Tuhan kerana dia melihat sifat-Nya yang Lemah-lembut dalam menguruskan hamba-Nya. Bila hamba-Nya lalai dengan pemberian-Nya disedarkan-Nya dengan penolakan-Nya. Bila hamba-Nya hampir binasa kerana penolakan-Nya diselamatkan-Nya dengan pemberian-Nya. Dia sangat tahu menguruskan hal-ehwal hamba-Nya.

Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya)? Sedangkan Ia Maha Halus urusan Tadbiran-Nya, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya! (Ayat 14 : Surah al-Mulk )

Dia Maha Halus (terperinci), tidak ada sesuatu yang tersembunyi daripada-Nya. Dia Maha Mengerti, Maha Tahu apa yang patut bagi hamba-Nya. Jika Dia memberi, itu adalah untuk memperkenalkan Diri-Nya yang bersifat dengan semua sifat kebaikan dan kemurahan. Jika Dia tidak memberi, itu adalah untuk memperkenalkan diri-Nya yang bersifat dengan semua sifat keagungan dan keperkasaan..

Pemberian membuat hamba mengenali kemurahan dan kebaikan-Nya. Penolakan membuat hamba mengenali kekerasan dan keperkasaan-Nya. Bila Dia dikenali secara positif dan negatif baharulah wujud pengenalan yang sejati. Perkara yang positif tidak lagi menutup yang negatif dan begitu juga sebaliknya. Jadi, bila hikmat penolakan-Nya difahami maka penolakan itu tidak akan membuat hati berasa gundah gulana sebaliknya akan wujudlah perasaan bahawa Allah s.w.t melihatnya, menguruskan kehidupannya, memberi nasihat dan tunjuk ajar agar dia selamat dalam perjalanannya.

Al-Hikam#99-101

99-101: AMAL, TAAT DAN BALASAN ALLAH S.W.T

MAHA TINGGI TUHAN KAMI DARI AMAL HAMBA YANG DISEGERAKAN TETAPI BALASANNYA DITUNDA.

CUKUPLAH BALASAN ALLAH S.W.T KEPADA KAMU DENGAN KETAATAN KAMU KEPADA-NYA, JIKA DIA REDA KAMU MENJADI AHLI TAAT.

CUKUPLAH BAGI ORANG-ORANG YANG BERAMAL DIBALAS DENGAN TERBUKANYA HATI MEREKA UNTUK MENTAATI ALLAH S.W.T. DAN, CUKUPLAH BAGI MEREKA DENGAN BALASAN DI MANA HATI MEREKA MENJADI JINAK DENGAN ALLAH S.W.T.

Allah s.w.t Maha Tinggi hingga tidak dapat disentuh oleh sesiapa pun, dan tidak dapat dilihat oleh pandangan yang bagaimana pun. Allah s.w.t Maha Kaya hingga Dia cukup dengan diri-Nya sendiri, tidak memerlukan apa-apa pun dari makhluk-Nya. Allah s.w.t Berdiri Dengan Sendiri hingga tidak ada satu pun yang dapat mengikat-Nya, mengawal-Nya atau mempengaruhi-Nya. Dia berbuat apa yang Dia kehendaki hingga tidak ada sesiapa yang boleh bertanyakan apa-apa tentang perbuatan-Nya.

Allah s.w.t menangguhkan balasan kepada amal hamba-Nya yang dilakukan dengan segera (tunai) dan tidak ada hamba yang berhak membangkang tindakan-Nya itu. Walaupun balasan ditangguhkan namun, tidak ada hamba yang melakukan amal ketaatan kepada-Nya akan mengalami kerugian. Semakin banyak waktu dihabiskan untuk beramal, orang yang berkenaan semakin berasa beruntung, tidak kerugian. Inilah hikmat kebijaksanaan Allah s.w.t dalam menangguhkan balasan kepada hamba-Nya.

Beramal kerana Allah s.w.t tidak serupa dengan beramal kerana urusan duniawi. Amalan yang ditujukan kepada muslihat dunia memerlukan kepada upah yang bersegera. Jika boleh upah diberikan terlebih dahulu sebelum amalan dibuat. Jika tidak ada upah tidak ada amal. Jika amal sudah dibuat tetapi upah belum didapati maka si beramal itu akan memberontak. Begitulah sifat yang timbul dari amalan yang ditujukan kepada muslihat dunia. Jika tujuan beramal berubah dari dunia kepada akhirat, maka sifat yang ada menyertai si beramal juga berubah. Amal yang ditujukan kerana muslihat akhirat pada mulanya dilakukan dengan ada rasa keberatan, tetapi kemudian bertukar kepada rasa ringan dan mudah. Ini disebabkan kerana amalan yang dilakukan bersungguh-sungguh walaupun secara paksaan, akhirnya akan melahirkan sifat taat. Sesuatu amalan dilakukan dalam waktu yang singkat sahaja, tetapi sifat taat yang telah lahir itu hidup berpanjangan.

Orang yang sifat taat telah hidup dalam hatinya akan sentiasa bersedia untuk berbuat taat kepada Allah s.w.t. Apabila dia selesai melakukan sesuatu perintah Allah s.w.t dia akan melakukan perintah yang lain pula. Dia berjangkit dari satu perintah Allah s.w.t kepada perintah Allah s.w.t yang lain, terus menerus, tanpa berasa berat dan letih. Jadi, amal  melahirkan taat dan taat itu pula menambahkan amal. Orang yang dikurniakan Allah s.w.t dengan taat berasa cukup puas dengan kurniaan tersebut. Ketenangan hati dalam melakukan ketaatan kepada Allah s.w.t menjadi balasan yang sangat besar baginya. Hatilah yang merasai nikmat atau celaka. Suasana beramal merupakan suasana yang paling baik bagi hati yang mencari Allah s.w.t. Amal yang melahirkan ketaatan membawa hati menuju kepada keredaan-Nya. Apabila Allah s.w.t membuka jalan menuju kepada-Nya maka terasalah dalam hati si hamba itu rasa jinak dengan Allah s.w.t. Dia akan mendapati jalan yang dilaluinya menjadi terang dan mudah. Keinginannya untuk menemui Allah s.w.t semakin bertambah. Ini menjadi nikmat yang besar dari Allah s.w.t. Hamba yang dijinakkan hatinya tidak suka lagi membuang masa pada perkara yang sia-sia. Kebanyakan dari masanya dihabiskan untuk berbuat amal ibadat kepada Allah s.w.t. Dia tidak berasa berat walaupun melakukan amal ibadat yang banyak. Hatinya tidak lagi ghairah kepada dunia, maka  syaitan sukar mengenakan tipu daya kepadanya. Apabila dia dapat melepasi benteng dunia dapatlah dia masuk ke alam ghaib yang membawa makrifat dengan Allah s.w.t. Orang yang mencari makrifatullah akan beramal tanpa menuntut balasan. Dia tidak berasa terkilan dengan balasan yang ditangguhkan bagi amalannya. Dia berasa senang apabila Allah s.w.t menegakkan kakinya di atas jalan taat kerana itu tandanya dia akan berjaya dalam perjalanannya. Bila hatinya jinak dengan Allah s.w.t dia berasa semakin hampir kepada-Nya dan bertambah pula amal ibadatnya. Dia akan melakukan amal ibadat itu dengan kelazatan tanpa memandang kepada balasan baik untuk dunia mahu pun akhirat.

Al-Hikam#98

98: PENOLAKAN ALLAH S.W.T LEBIH BAIK DARIPADA PEMBERIAN MAHKLUK

PEMBERIAN DARI MAKHLUK ADALAH KERUGIAN DAN PENOLAKAN DARI ALLAH ADALAH KEBAIKAN.

Hikmat di atas merupakan ucapan ahli tauhid yang sebenarnya. Orang yang benar-benar bertauhid menghukumkan bahawa sekiranya beliau menerima sebarang pemberian makhluk sedangkan hatinya tidak melihat bahawa pemberian itu sebenarnya dari Allah s.w.t, maka dia menerima pemberian itu tanpa hak

Firman Allah s.w.t:

Allah jualah yang mencipta kamu; kemudian Ia memberi rezeki kepada kamu; sesudah itu Ia mematikan kamu; kemudian Ia menghidupkan kamu semula. Adakah di antara makhluk-makhluk yang kamu sekutukan dengan Allah itu sesiapa yang dapat berbuat sesuatu pun dari segala yang tersebut? Maha Suci Allah dan Tertinggi keadaan-Nya dari apa yang mereka sekutukan (dengan-Nya). ( Ayat 40 : Surah ar-Ruum )

Firman-Nya lagi:

Bertanyalah kepada mereka (yang musyrik itu) : “Siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Atau siapakah yang menguasai pendengaran dan penglihatan? Dan siapakah yang mengeluarkan makhluk yang hidup dari benda yang mati, dan mengeluarkan benda yang mati dari makhluk yang hidup? Dan siapakah pula  yang mentadbirkan urusan sekalian alam?” (Dengan pertanyaaan-pertanyaan itu) maka mereka (yang musyrik) tetap akan menjawab (mengakui) dengan berkata: “Allah jualah yang menguasai segala-galanya!” Oleh itu, katakanlah: “(Jika kamu mengakui yang demikian), maka mengapa kamu tidak mahu bertakwa?” ( Ayat 31 : Surah Yunus )

Pegangan tauhid adalah jelas bahawa hanya Allah s.w.t yang berkuasa memberi sementara makhluk hanyalah ejen dalam menyampaikan pemberian itu. Menyambut pemberian dari tangan ejen dengan melupakan Pemberi yang sebenar adalah satu kesalahan yang layak jika dia dikatakan mengambil pemberian itu tidak secara hak. Al-Quran dengan jelas mengajarkan agar tidak berlaku syirik ketika menerima sesuatu, agar pemberian yang diterima itu menambahkan ketakwaan. tauhid juga mengajarkan:

Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. ( Ayat 1 – 2 : Surah al-Faatihah )

Allah s.w.t sahaja Tuhan sekalian alam. Dia menguruskan sekalian makhluk-Nya dengan kemurahan dan kasih sayang. Jika seorang ibu sangat kasih dan mengambil berat tentang anaknya, maka lebih lagi kasih sayang dan perhatian Allah s.w.t kepada makhluk-Nya. Tanda Allah s.w.t mengasihi dan memberi perhatian kepada makhluk-Nya adalah Dia telah mengadakan ketentuan dan pembahagian sejak azali, lama sebelum makhluk diciptakan. Allah s.w.t telah pun mengadakan persediaan yang lebih dari cukup untuk menyambut makhluk yang akan diciptakan-Nya. Setiap makhluk yang Dia ciptakan, sekali pun sebesar zarah, telah pun ditentukan haknya sebelum ia diciptakan. Apabila makhluk sekaliannya diciptakan, masing-masing sudah dinanti oleh hak masing-masing, sudah ada habuan untuk mereka, hanya menunggu masa untuk menerimanya. Tidak ada makhluk yang diciptakan tanpa perkiraan dan habuan untuknya.  Apa juga yang diterima oleh makhluk merupakan apa yang Allah s.w.t telah sediakan untuknya. Oleh itu, sangatlah tidak mengenang budi, sesiapa yang menerima sesuatu pemberian tetapi tidak melihat Allah s.w.t sebagai Pemberi yang sebenar. Allah s.w.t telah memberi jaminan:

Ia telah menetapkan atas diri-Nya memberi rahmat. ( Ayat 12 : Surah al-An’aam )

Jika ada di antara hamba-Nya yang tidak memperolehi apa yang dia inginkan, sebenarnya penolakan itu adalah rahmat juga dari Allah s.w.t.

Dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedangkan kamu tidak mengetahuinya. ( Ayat 216 : Surah al-Baqarah )

Allah s.w.t menolak permintaan kamu kerana Allah s.w.t mahu menyelamatkan kamu dari kemudaratannya. Kamu tidak mengetahui tetapi Allah s.w.t mengetahui bahaya tersebut. Tanda kasihnya kepada kamu dielakkan bahaya itu daripada kamu walaupun kamu menyangkal. Orang yang mengenali sifat Pemurah dan Penyayang Allah s.w.t akan berasa tenang dan bersyukur tatkala menerima penolakan dari Allah s.w.t kerana dia yakin bahawa Allah s.w.t telah menyelamatkannya dari sesuatu bahaya dengan penolakan itu. Jadi, penolakan itu adalah ihsan Allah s.w.t kepada hamba-Nya yang lemah, jahil, tidak mengetahui apa yang tersembunyi dan tidak kuat menyelamatkan diri sendiri. Hanya Allah s.w.t yang telah mewajibkan Diri-Nya memberi rahmat yang bertindak menyelamatkan hamba-Nya walaupun si hamba itu sendiri tidak menyenanginya. Sekiranya Allah s.w.t menurut sahaja apa yang diingini oleh hamba-Nya tentu sahaja alam ini penuh dengan kebinasaan.

Rancang situs seperti ini dengan WordPress.com
Mulai